Ejen hartanah antara diberkas jual tanah tidak wujud

Dua wanita ditahan polis selepas terbabit dalam kes penipuan jual beli tanah dan pinjaman wang tidak wujud di sini pada Khamis lalu. - Gambar hiasan
Dua wanita ditahan polis selepas terbabit dalam kes penipuan jual beli tanah dan pinjaman wang tidak wujud di sini pada Khamis lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

PENAMPANG - Dua wanita ditahan polis selepas terbabit dalam kes penipuan jual beli tanah dan pinjaman wang tidak wujud di sini pada Khamis lalu.

Dua wanita masing-masing berusia 44 dan 31 tahun itu ditahan selepas menyebabkan kerugian lebih RM90,000 terhadap dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kes pertama melibatkan suspek wanita tempatan yang bekerja sebagai ejen hartanah dan disyaki terlibat dengan urusan jual beli tanah lot.

"Modus operandi suspek adalah dengan memperdayakan mangsa untuk urusan jual beli lot tanah yang tidak wujud dan mangsa menyerahkan wang deposit tunai sebanyak RM85,000 kepadanya bagi urusan itu.

"Bagaimanapun, suspek telah membelanjakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang pembayaran kepada pemilik tanah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya lagi, bagi kes kedua pula suspek menggunakan modus operandi dengan memperdayakan mangsa dalam urusan pinjaman tidak wujud.

"Mangsa diperkenalkan kepada abang suspek untuk tujuan membuat pinjaman wang dan dibawa ke syarikat pinjaman wang.

"Tidak lama kemudian, suspek memperdayakan mangsa kononnya abangnya memukul individu yang menguruskan pinjaman tersebut dan bertindak meminta wang daripada mangsa untuk tujuan ikat jamin polis.

Artikel Berkaitan:

"Akibat terpedaya, mangsa mendepositkan wang sebanyak RM7,200 menerusi beberapa transaksi ke dalam akaun suspek," katanya.

Sammy berkata, susulan kejadian itu kedua-dua suspek ditahan dan direman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau dalam pada itu berkata, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan ketara melibatkan kes penipuan dalam transaksi kewangan.

"Pihak polis menasihatkan supaya masyarakat sentiasa berhati-hati ketika melakukan transaksi kewangan kepada individu atau urusan jual beli yang meragukan," katanya.