Geng Latin Putra curi barang pelancong diberkas

Antara barangan yang dirampas dari suspek.
Antara barangan yang dirampas dari suspek.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga warga Peru termasuk seorang wanita dikenali sebagai 'Geng Latin Putra' yang dipercayai aktif mencuri barang milik pelancong asing ditahan di dua lokasi berasingan sekitar Lembah Klang, dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, penahanan mereka susulan laporan yang diterima daripada seorang wanita warga China berusia 51 tahun mendakwa ternampak seorang lelaki melarikan begnya ketika mengambil gambar di hadapan Masjid Putra pada 4 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa dikatakan cuba mengejar lelaki itu, tetapi gagal hingga menyebabkan kerugian bernilai kira-kira RM20,000 membabitkan dokumen penting milik mangsa, iaitu pelbagai barang kemas, wang tunai dan dua telefon bimbit.

“Hasil maklumat dan risikan dijalankan, kita berjaya menahan seorang lelaki warga Peru berusia 35 tahun dan wanita berusia 41 tahun di Brickfields, Kuala Lumpur pada jam 9.30 malam, 11 Disember lalu yang membawa kepada rampasan pakaian suspek ketika kejadian dan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang disewa untuk melakukan jenayah.

“Susulan itu juga, kita juga berjaya menahan seorang lagi rakan suspek, juga lelaki warga Peru di sebuah pangsapuri di Puchong, jam 2.30 pagi, empat hari kemudian.

“Hasil pemeriksaan turut menemui wang tunai, barang kemas, beg tangan wanita, beg duit, kasut, jam tangan, telefon bimbit, kamera yang dipercayai hasil kegiatan curi dilakukan terhadap pelancong asing yang semuanya bernilai RM80,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosly berkata, menerusi siasatan lanjut dari Jabatan Imigresen didapati pasport mereka mempunyai cop palsu bertarikh 19 November.

Katanya, dengan penangkapan ketiga-tiga suspek, polis yakin berjaya menyelesaikan 15 kes termasuk di Putrajaya dan empat kes di Dang Wangi membabitkan kebanyakan mangsa dalam kalangan pelancong warga China.

Artikel Berkaitan:

Antara barangan yang dirampas dari suspek.
Antara barangan yang dirampas dari suspek.

“Semua suspek akan dituduh pada Khamis ini iaitu suspek pertama akan dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen diri yang sah.

“Suspek kedua pula akan dituduh mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen diri yang sah, manakala suspek ketiga akan dituduh mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan memuaskan kepada polis terhadap barang dirampas dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen diri yang sah,” katanya.