LUAS kesan tumpahan minyak treler

LUAS melaksanakan tindakan mitigasi segera berikutan insiden tumpahan minyak enjin sebuah treler terbabit dalam kemalangan di kilometer 436.8 Lebuhraya Plus dari Rawang ke Sungai Buaya pada petang Rabu.
LUAS melaksanakan tindakan mitigasi segera berikutan insiden tumpahan minyak enjin sebuah treler terbabit dalam kemalangan di kilometer 436.8 Lebuhraya Plus dari Rawang ke Sungai Buaya pada petang Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan tumpahan minyak enjin sebuah treler yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 436.8 Lebuhraya Plus dari Rawang ke Sungai Buaya pada petang Rabu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, semakan LUAS di lokasi mendapati tumpahan tersebut turut memasuki sistem saliran berdekatan.

Menurutnya, bahan cemar tersebut berpotensi memasuki Sungai Serendah dan anak-anak sungai seperti Sungai Garing, Sungai Kundang, Sungai Sembah dan seterusnya ke Sungai Selangor.

"Jarak lokasi tumpahan berkenaan dengan loji rawatan air (LRA) utama terhampir negeri iaitu LRA Rantau Panjang sekitar 19.1 kilometer, SSP1 dan SSP2 sekitar 23.8 kilometer serta SSP3 sekitar 23.4 kilometer," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jamaliah berkata, LUAS segera ke lokasi kemalangan untuk menyemak persekitaran lokasi dan mengenal pasti sebarang impak dan risiko terhadap sumber air berhampiran.

"Langkah pencegahan awal telah dilaksanakan oleh pihak PLUS dengan meletakkan serbuk kayu (saw dust) di kawasan terlibat dan sepanjang longkang sebagai inisiatif pencegahan bagi mengekang insiden daripada bertambah teruk.

"Jarak saliran longkang pembetung akhir ke Sungai Serendah sejauh 100 meter dan LUAS mengambil inisiatif meningkatkan pencegahan dengan meletakkan 50 oil pad di dalam longkang lebuh raya untuk mengelakkan sisa minyak terus mengalir ke dalam sungai berhampiran," jelas beliau

Jamaliah memberitahu, berdasarkan pemantauan LUAS, kerja-kerja pembersihan telah diselesaikan PLUS sekitar jam 1.45 pagi Khamis.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, pemerhatian LUAS di jalan dan longkang berhampiran tiada lagi kesan bahan pencemar bertakung dan semakan lanjut di Sungai Serendah juga tiada kesan bahan pencemar yang masuk ke dalam aliran sungai.

Katanya, kesan daripada tindakan mitigasi segera itu berjaya mengelakkan risiko dan impak kepada operasi LRA utama negeri.

"Bagaimanapun, pemantauan diteruskan oleh LUAS di tapak dan Sungai Serendah pagi ini untuk memastikan tiada lagi baki kesan-kesan bahan pencemar terlepas masuk ke dalam sungai dan bebas daripada sebarang risiko," tambah beliau.