KPDN pantau harga ayam pada hari pertama

Saharuddin (kanan) memantau harga ayam segar yang dijual di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu pada Rabu.
Saharuddin (kanan) memantau harga ayam segar yang dijual di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 2,300 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) seluruh negara dikerah memantau harga ayam pada hari pertama pelaksanaan penamatan subsidi dan harga kawalan bekalan itu pada Rabu.

Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan peniaga tidak melanggar peraturan meletakkan harga ayam melebihi harga siling ditetapkan.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah KPDN negeri, Muhammad Zahir Mazlan berkata, kebanyakan peniaga masih mengekalkan harga sebelum ini.

“Kita akan melakukan semakan terhadap dokumen tambahan diberikan oleh peniaga, jadi kita dapat lihat harga ditawarkan munasabah atau tidak,” katanya.

Di MELAKA, peniaga ayam segar di negeri ini akur dan tidak mengenakan sebarang caj pemotongan ayam kepada pengguna.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, langkah itu dapat memberi peluang kepada pengguna membeli ayam dengan harga berpatutan tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.

“Rata-rata peniaga di pasar awam menjual Serendah RM8.50 sekilogram (kg) manakala pasar raya yang kita jumpa RM7.39,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, Pengarah KPDN negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya menggiatkan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seramai 117 pegawai penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau harga dipasar raya dan pasar basah di seluruh negeri.

“KPDN Terengganu ingin memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga,” katanya.

Di ALOR SETAR, mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam berdepan tindakan undang-undang.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya tidak berkompromi dan tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menaikkan Harga ayam sewenang-wenangnya,” katanya.

Di KOTA BHARU, KPDN Kelantan mengingatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik ke atas ayam susulan kerajaan bertindak mengapungkan harga bahan mentah itu.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana bekalan bahan mentah itu mencukupi.