[EKSKLUSIF] Kerajaan siap sedia sebarang kemungkinan

Ahmad Maslan - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Ahmad Maslan - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku pada sesi penggulungan Belanjawan 2024 pada Khamis termasuk undi belah bahagian daripada pihak pembangkang, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun beliau berharap, Belanjawan 2024 dapat diluluskan sebulat suara.

“Kita berharap esok (hari ini) sekadar undi suara, tidak perlu belah bahagi.

“Tetapi kita perlu bersiap untuk undian belah bahagian dan saya yakin semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk 18 parti itu akan berada di Parlimen,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada 13 Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion iaitu jumlah perbelanjaan yang besar dalam sejarah belanjawan negara.

Ahmad menambah, beliau yakin Rang Undang-undang Perbekalan 2024 itu akan dapat persetujuan Dewan Rakyat lebih-lebih lagi setelah dua ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada kerajaan.

“Di sebelah kerajaan ada 148 tetapi tolak satu iaitu Muar menjadikan jumlah 147 kemudian Kemaman kosong, jadi tinggal 146.

“Walaupun ahli pembangkang 75 orang, namun dua ahli mereka menyatakan sokongan kepada kerajaan menjadikan jumlah bersama kerajaan kembali kepada 148 iaitu 2/3 daripada jumlah dewan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid membuat keputusan menyokong pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terbaharu, pada Isnin, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman daripada Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan kepada Anwar setelah mengambil kira permasalahan rakyat Labuan.