Bayi 58 hari meninggal dunia semasa tidur

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Seorang bayi perempuan berusia 58 hari maut selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap ketika tidur di sebuah rumah pangsa di Banda Hilir di sini pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Melaka oleh ibunya berusia 26 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidur berdua bersama ibunya kira-kira jam 11 malam di atas tilam.

Menurutnya, dua jam kemudian ibunya telah memberikan anaknya itu susu dan selepas disendawakan, mangsa diletakkan dalam keadaan terlentang.

"Ketika wanita itu bangun untuk ke tandas kira-kira jam 5 pagi, dia mendapati anaknya dalam keadaan tertiarap dan kaku sebelum membawa mangsa ke Hospital Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambah beliau, pihak hospital telah memberikan bantuan pernafasan (CPR) selama 40 minit, sebelum disahkan meninggal dunia dunia pada jam 7.10 pagi.

Ujarnya, pemeriksaan fizikal pada badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan lebam atau luka.

"Malah keputusan X-ray juga mendapati tiada kesan patah atau pendarahan dalaman.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.