Zulkifli terkejut pembida jam Rolex individu dikenalinya

Zulkifli menyerahkan jam Rolex kepada pembida di pejabatnya pada Rabu.
Zulkifli menyerahkan jam Rolex kepada pembida di pejabatnya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri terkejut pembida jam jenama Rolex pada harga RM135,000 merupakan individu yang dikenalinya.

Menurutnya, pembida berkenaan telah hadir ke pejabatnya sekitar jam 3.15 petang Rabu untuk menyerahkan wang tunai berkenaan.

"Sejujurnya saya terkejut kerana saya mengenali beliau," kata Zulkifli menerusi sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasminya.

Pembida berkenaan yang enggan dikenali berasal dari Pasir Gudang, Johor telah memenangi bidaan tersebut tujuh minit sebelum masa tamat.

Zulkifli berkata, pertemuan dengan pembida berkenaan berlangsung dalam suasana sebak dan linangan air mata.

"Saya lihat dengan penuh keikhlasan beliau telah menyerahkan kepada saya duit sebanyak itu," katanya.

Pembida berkenaan telah hadir ke pejabat Zulkifli pada petang Rabu untuk menyerahkan wang tunai berkenaan.
Pembida berkenaan telah hadir ke pejabat Zulkifli pada petang Rabu untuk menyerahkan wang tunai berkenaan.

Tambah Zulkifli, pembida berkenaan memberi tiga sebab untuk memiliki jam berkenaan selain demi Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Katanya kerana ia adalah anugerah pemberian daripada Raja Arab Saudi dan saya pernah memakainya sewaktu menjawat jawatan menteri sebelum ini," jelas beliau.

Menurut Zulkifli, RM100,000 daripada wang hasil bidaan tersebut akan diserahkan kepada pelarian Palestin di Amman, Jordan menerusi Muslim Care Malaysia (MCM).

"Saya akan bawa bersama wang ini untuk diserahkan di Jordan sama ada esok atau lusa," katanya.

Beliau berkata, sebahagian lagi iaitu RM35,000 akan diberikan kepada beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Aqsa Syarif, Pas Relief dan lain-lain," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pemberita dan rakyat Malaysia yang menyokong usaha tersebut.

Pembida berkenaan yang enggan dikenali berasal dari Pasir Gudang, Johor telah memenangi bidaan tersebut tujuh minit sebelum masa tamat.
Pembida berkenaan yang enggan dikenali berasal dari Pasir Gudang, Johor telah memenangi bidaan tersebut tujuh minit sebelum masa tamat.

"Semoga kita akan diberi pahala kelak," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Zulkifli melelong dan membuka bidaan jam tangan kesayangannya itu di platform Facebook selama dua hari bermula Isnin untuk didermakan sepenuhnya kepada rakyat Palestin.

Beliau berkata, harga permulaan bidaan jam tangan mewah pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud adalah sebanyak RM40,000.