Bekas editor terima Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK

Sheila Rahman (tengah) menerima Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK selaku pemenang anugerah bagi Oktober.
Sheila Rahman (tengah) menerima Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK selaku pemenang anugerah bagi Oktober.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Bekas editor yang mengubah nasib lima kanak-kanak tanpa kerakyatan dengan menyediakan tempat tinggal, makanan dan akses kepada pendidikan enam tahun lepas, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC)-MACROKIOSK.

Sheila Rahman Natarajan, 69, dengan mendapat sokongan jiran tetangga, menyantuni sebuah keluarga yang mempunyai lima orang anak berusia empat hingga 11 tahun tanpa kad pengenalan sehingga kanak-kanak berkenaan berjaya memasuki alam persekolahan.

Usahanya itu telah mencuri tumpuan panel juri untuk diangkat sebagai pemenang anugerah bagi Oktober. Sheila merupakan bekas editor akhbar Sunday Mail, yang kali pertama melihat kanak-kanak berkenaan merayau tanpa hala tuju setiap hari di kawasan kejiranannya pada awal 2017.

Tanpa ibu manakala bapa pula bergelut untuk mencari nafkah, mereka ditinggalkan dalam sebuah bilik sempit dan di situlah ruang untuk memasak, makan dan juga menjadi bilik tidur.

Prihatin dengan nasib lima beradik itu, Sheila dan suami Abdul Rahman Ishak telah mendapatkan persetujuan untuk menjaga kanak-kanak berkenaan ketika bapa mereka keluar bekerja.

Kini, mereka yang sudah berusia 11 hingga 18 tahun, telah didaftarkan ke Yayasan Dignity for Children, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah menerima Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK pada Jun lepas, bagi meneruskan pendidikan.

Selain pendidikan, Sheila berkata, beliau terpaksa ‘naik turun’ Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara dalam usahanya untuk mendokumentasikan status lima beradik itu sejak 2018.

Hasilnya, mereka berjaya mendapatkan perintah penjagaan daripada mahkamah pada 2019 diikuti sijil kelahiran bukan warganegara pada 2021.

Selepas penilaian oleh JKM, Sheila dan suami akhirnya mendapat jagaan sah terhadap lima beradik itu pada 2022, dengan dipersetujui oleh bapa mereka, yang juga menjadi prasyarat permohonan kewarganegaraan.
Artikel Berkaitan:


NPC dengan kerjasama MACROKIOSK menganjurkan anugerah bulanan bermula April lepas, bagi mengiktiraf mana-mana individu, kumpulan atau organisasi yang menggambarkan semangat muhibah di Malaysia.

Timbalan Presiden NPC, Haresh Deol berkata, anugerah kali ini amat bermakna kerana penerimanya adalah dalam kalangan pengamal media yang turut memainkan peranan menyuntik semangat muhibah di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MACROKIOSK, Datuk Kenny Goh menyifatkan usaha Sheila terhadap lima beradik itu sebagai tindakan belas kasihan yang luar biasa.

Penerima Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK membawa pulang wang tunai RM2,000, sijil dan baucar daripada jenama teh gaya hidup terkemuka Tealive, jenama pasar raya tempatan Jaya Grocer dan jenama yogurt beku llaollao. - Bernama