Data China lemah, ringgit ditutup rendah menjelang mesyuarat bank pusat AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT mengakhiri urus niaga Selasa dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan pengumuman data pembuatan China yang lemah daripada jangkaan ketika pelabur menunggu hasil mesyuarat Rizab Persekutuan AS.

Pada jam 6 petang ini, ringgit susut ke paras 4.7615/7655 berbanding dolar AS daripada 4.7600/7645, semalam.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China susut di luar jangkaan kepada 49.5 pada Oktober selepas mencatat peningkatan kecil pada September lepas.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS menjadi tumpuan selepas peserta pasaran menunggu lebih banyak petunjuk daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang dijadualkan esok.

Malah, pasaran kini mengunjurkan kemungkinan Fed menaikkan kadar faedah tambahan pada 2023 atas alasan ekonomi negara maju itu masih berdaya tahan.

Pada masa sama, bank pusat Jepun iaitu Bank of Japan menaikkan had Kawalan Keluk Hasil kepada 1.00 peratus daripada 0.25 peratus pada Julai.

"Pendirian Bank of Japan lebih cenderung untuk menyediakan mudah tunai kepada sistem yang menjadikan yen lemah," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun yang menyaksikannya mengukuh kepada 3.1588/1616 daripada 3.1810/1842 pada penutup Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 5.0729/0772 daripada 5.0375/0423 semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.8014/8063 daripada 5.7734/7789, sebelum ini.

Unit tempatan itu turut mencatat prestasi sama berbanding mata wang Asia lainnya.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4867/4902 daripada 3.4841/4877 semalam dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.40 daripada 8.37/8.38.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit susut kepada 299.7/300.1 daripada 299.5/299.9 semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.2371/2544 daripada 13.2351/2531, sebelum ini. - Bernama