Bahang ABK 2023 kian terasa

Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2023 menyaksikan 16 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini.
Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2023 menyaksikan 16 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini.
A
A
A

BAHANG Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK) 2023 kian terasa apabila dua kategori baharu diperkenalkan sekali gus menyaksikan 16 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini yang dijadual berlangsung akhir Disember depan.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memaklumkan dua kategori baharu itu adalah Pemain Terbaik MFL dan Penjaring Terbanyak Piala MFL melibatkan pasukan bawah 23 tahun.

Selain dua kategori baharu tersebut, 14 kategori lain adalah Anugerah Fair Play, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super dan Penjaring Terbanyak Liga Super, FAN XI, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik dan Gol Terbaik Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Kategori bagi setiap posisi turut dipertandingkan iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan, Pemain Tengah dan Penyerang selain Pemain Import dan Pemain Muda Terbaik.

Tumpuan utama pasti terarah kepada Pemain Paling Bernilai (MVP) yang ketika ini dipegang pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang merangkul gelaran berkenaan untuk dua tahun berturut-turut.

Arif Aiman dinobatkan sebagai pemenang MVP untuk dua tahun berturut-turut. - Foto Agensi
Arif Aiman dinobatkan sebagai pemenang MVP untuk dua tahun berturut-turut. - Foto Agensi

Dalam pada itu, kategori Anugerah Pasukan Terbaik akan diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Teknikal MFL, Anugerah Fair Play akan ditentukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagi kategori Fan XI dan Gol Terbaik Liga M 2023 pula akan dibuat menerusi undian penyokong melalui platform SurveyMonkey bermula minggu depan.

Artikel Berkaitan:

Bagi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) pula akan dipilih daripada kalangan pemenang empat kategori iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan, Pemain Tengah dan Penyerang oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.

Sebagai rekod, seramai 398 daripada 782 pemain disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama kelab masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK23 bagi menyenaraipendekkan 10 pemain terbaik dalam setiap kategori.


Senarai 16 kategori ABK 2023

1. Anugerah Fair Play

2. Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Piala MFL

3. Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super

4. Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Liga Super

5. FAN XI

6. Penjaga Gol Terbaik

7. Pertahanan Terbaik

8. Pemain Tengah Terbaik

9. Penyerang Terbaik

10. Pemain Import Terbaik

11. Pemain Muda Terbaik

12. Pemain Terbaik Piala MFL

13. Jurulatih Terbaik

14. Pasukan Terbaik

15. Gol Terbaik Liga Malaysia 2023

16. Pemain Paling Bernilai (MVP)