41 calon Bebas bertanding pada PRN kali ini

PRN di enam negeri yang menyaksikan jumlah keseluruhan 245 kerusi DUN dipertanding menarik penyertaan 41 calon Bebas. - Gambar hiasan
PRN di enam negeri yang menyaksikan jumlah keseluruhan 245 kerusi DUN dipertanding menarik penyertaan 41 calon Bebas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang menyaksikan jumlah keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertanding menarik penyertaan 41 calon Bebas.

Berdasarkan data pencalonan yang diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah calon Bebas yang bertanding pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu kali ini adalah kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 570 calon.

Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor mencatat jumlah calon Bebas paling tinggi iaitu masing-masing 10 diikuti Kelantan dan Pulau Pinang yang masing-masing menyaksikan lima calon Bebas.

Negeri yang mencatatkan calon Bebas paling sedikit ialah Terengganu apabila hanya Che Harun Kamariah Abdullah diumum bertanding di DUN Hulu Besut sebagai calon Bebas tunggal di negeri itu.

Terdapat juga kerusi DUN yang menyaksikan lebih daripada seorang calon Bebas bertanding antaranya di Kedah dan Negeri Sembilan.

Kerusi DUN Lunas di Kedah menyaksikan pertandingan lima penjuru serta mencatatkan penyertaan calon Bebas paling tinggi apabila tiga calon dinamakan bertanding di kawasan berkenaan iaitu N.Rajendran, S.S. Pannir Selvam dan S.Arichindarem.

Ketiga-tiga wakil Bebas akan menentang calon PH-PKR Shamsul Anuar Abdullah dan calon PN-Bersatu Khairul Anuar Ramli.

Di DUN Air Hangat, dua calon Bebas iaitu Safwan Hanif Shafie dan Zulfadli Mohd Yusof akan berhadapan calon PN-Bersatu Shamsillah Siru serta calon BN-UMNO Hisham Suhaily Othman.

DUN lain yang menyaksikan penyertaan lebih daripada seorang wakil Bebas ialah kerusi tumpuan di Negeri Sembilan iaitu Sikamat apabila penyandangnya iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, yang mewakili Pakatan Harapan (PH), berdepan saingan empat penjuru.

Aminuddin dicabar Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN-Bersatu) serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.

Satu lagi kerusi di Negeri Sembilan yang menyaksikan lebih daripada seorang calon Bebas bertanding ialah DUN Nilai apabila penyandang J.Arul Kumar (PH-DAP) dicabar Gan Chee Biow (PN-Bersatu) serta dua calon Bebas iaitu Omar Mohd Isa dan Yessu Samuel. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!