Integriti Citra Malaysia Madani tema Bulan Integriti Nasional 2023

Mohd Zuki (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Sambutan Bulan Integriti Nasional 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby Kuala Lumpur pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Mohd Zuki (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Sambutan Bulan Integriti Nasional 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby Kuala Lumpur pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sambutan Bulan Integriti Nasional (BIN) merupakan manifestasi usaha untuk menzahirkan komitmen kerajaan dalam membudayakan integriti dan tata kelola di semua sektor awam termasuk korporat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, tema BIN pada tahun ini ialah ‘Integriti Citra Malaysia Madani’.

Menurutnya, pemilihan tema berkenaan sejajar dengan gagasan Malaysia Madani yang memperihalkan kerangka ikhtiar bagi mengembalikan martabat negara melalui teras pembangunan nilai etika dan akhlak masyarakat.

“Dalam pembentangan Kajian Separuh Pengggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan komitmen bahawa kerajaan akan memperkenalkan Pelan Integriti baharu dan Akta Tata Kelola sektor awam.

“Ini menunjukkan kerajaan komited dalam memastikan integriti menjadi budaya masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah diberikan mandat untuk membangunkan Pelan Integriti baharu sesuai dengan peranan dan fungsinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Bulan Integriti Nasional 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby pada Selasa.

Mohd Zuki berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Integriti Nasional 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby Kuala Lumpur pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Mohd Zuki berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Integriti Nasional 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby Kuala Lumpur pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Tambah Mohd Zuki, gerakan pengukuhan dan pemantapan integriti dan tata kelola dalam organisasi perlulah dilaksanakan secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penglibatan dan kerjasama daripada semua pihak penting bagi memastikan ekosistem integriti terus berkembang.

“Jadi saya berharap kita semua membulatkan tekad, berganding bahu bersama-sama komited membudayakan integriti.

“Justeru, saya menyeru supaya semua organisasi dalam sektor awam dan korporat untuk melafazkan Ikrar Integriti Malaysia dan menyanyikan lagu integriti dalam apa jua aktiviti atau program sempena bulan integriti ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Nor Yahati Awang berkata, penganjuran sambutan BIN 2023 diperkasa dengan tiga objektif utama antaranya, menekankan kepada masyarakat bahawa integriti akan terus menjadi satu daripada agenda penting kerajaan.

“Seterusnya, memupuk kesedaran mengenai kepentingan mengamalkan nilai-nilai integriti dan tata kelola baik bertunjangkan kerangka Malaysia Madani yang berpaksikan keyakinan, nilai, akhlak serta tadbir urus adil.

“Objektif ketiga adalah meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa agenda integriti nasional merupakan tanggungjawab bersama dan menjadi nadi penggerak sektor awam serta swasta yang merangkumi individu, keluarga juga masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar BIN 2023 dapat menjadi pemangkin semangat untuk mengukuhkan komitmen dalam membudayakan dan menjadikan integriti sebagai asas utama membentuk dasar kemajuan pentadbiran negara.

-tamat-