Pusat Pemindahan Kekal Bencana dibina di negeri sering banjir

Armizan (tiga dari kiri) ketika melawat tapak cadangan pembinaan PPKB di SK Banggol Peradong, Manir di Kuala Terengganu pada Sabtu.
Armizan (tiga dari kiri) ketika melawat tapak cadangan pembinaan PPKB di SK Banggol Peradong, Manir di Kuala Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan akan membina lebih banyak Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) terutama melibatkan negeri-negeri yang terjejas teruk akibat bencana banjir ketika musim tengkujuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagi peringkat permulaan sebanyak sembilan lokasi PPKB telah dikenal pasti dan dijangka mula beroperasi pada 2026.

Menurutnya, inisiatif pembinaan PPKB itu telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu.

"PPKB akan dilengkapi kemudahan bersesuaian seperti dewan penginapan, tandas, bilik mandi, ruang membasuh pakaian, dapur dan sudut makan, ruang khas wanita, bilik pentadbiran, bilik petugas, stor makanan serta keperluan asas, bilik rawatan dan surau.

"Ia juga akan mempunyai persekitaran dan kemudahan yang lebih baik berbanding pusat penempatan sementara (PPS) sedia ada dengan kos pembinaan RM5 juta untuk setiap PPKB," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan pembinaan PPKB di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir di sini, pada Sabtu.

Antara lokasi cadangan bagi pembinaan PPKB ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Pasir Mas, Kelantan; SK Seri Medan, Batu Pahat, Johor; SK Benta, Kuala Lipis, Pahang; SK Perwira, Teluk Intan, Perak; SK Machang Bubok, Pulau Pinang dan SK Beradek, Kuching, Sarawak.

Katanya, lokasi pembinaan PPKB di Kedah dan Sabah masih di peringkat penilaian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di negeri berkenaan.

Tambah beliau, ketika ini proses pembinaan pusat pemindahan itu di peringkat reka bentuk dan proses tender akan dimulakan awal tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi peringkat awal, keutamaan akan diberikan untuk membina PPKB di kawasan sekolah atas beberapa faktor untuk menjadikan fasiliti yang dibina beroperasi secara dwi-fungsi iaitu sebagai pusat pemindahan semasa bencana dan boleh dimanfaatkan oleh komuniti sekolah di luar tempoh bencana.

"Pemilihan sekolah sebagai lokasi PPKB juga membolehkan isu pemilikan tanah dapat ditangani melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan sekali gus membolehkan proses pembinaan dapat dilaksanakan dengan segera," ujarnya.

Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga akan bekerjasama dengan JPBN untuk pelaksanaan projek-projek kecil naik taraf, baik pulih dan bina baharu tandas, bilik mandi dan stor di PPS sedia ada secara berperingkat demi keselesaan mangsa banjir.

Untuk rekod, sebanyak 8,481 PPS dikenal pasti di seluruh negara termasuk 749 di Terengganu sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 yang diramalkan bermula pada November hingga Mac tahun depan.