Perak kemuka tiga lokasi buka kilang NR-REE

Saarani
Saarani
A
A
A

GERIK - Kerajaan Perak telah mengemukakan cadangan tiga lokasi bagi membuka kilang bagi mengasingkan elemen mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, pihaknya menunggu keputusan daripada kerajaan Persekutuan berikutan cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

"Kita belum menetapkan lagi di mana akan dibuka kilang memproses lantanid ini kerana kita perlu mendapatkan kelulusan daripada NRECC.

"Ini kerana hanya kerajaan Persekutuan sahaja yang memberi kebenaran kepada Perak untuk membuka pusat perindustrian bagi mengasingkan elemen mentah ini kepada sekurang-kurangnya 15 elemen lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada program Bicara Profesional dan Apresiasi Menteri Besar Perak Bersama-Sama Warga Pendidik Daerah Hulu Perak di sini pada Jumaat.

Saarani berkata, tiga lokasi yang dicadangkan adalah di kawasan Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Tanjung Malim; Silver Valley Technology Park (SVTP), Ipoh dan daerah Hulu Perak.

"Proton City merupakan kawasan AHTV jadi sudah tentu penggunaan bagi elemen-elemen yang diekstrak ini sangat berguna kepada vendors di sana.

"Jika cadangan itu tidak sesuai, kita menyediakan SVTP di Khantan Baharu dan jika kita merasakan kawasan gerik ini adalah kawasan pengeluaran utama bagi bijih lantanid maka ia boleh dicadangkan dibina di Hulu Perak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, lawatan pihaknya ke China baru-baru ini menerima maklum balas positif daripada pelabur-pelabur dari luar negara.

"Kita masih melihat kerjasama yang ada. Semasa lawatan ke China kita lihat ada beberapa negara dan syarikat berpotensi dan barang kali akan datang dengan tawaran berbeza.

"Kita akan menyediakan insentif selain buka kilang, mereka memindahkan teknologi ke Perak. Bagaimanapun perkara ini tiada ketetapan dan masih terbuka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Perak telah mendapat mendapat persetujuan daripada NRECC ketika Mesyuarat Mineral Negara sebelum ini untuk membangunkan sebuah makmal lantanid di negeri ini.

Makmal berkenaan akan ditubuhkan bersama Perbadanan Menteri Perak (MBInc) bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC Perak) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).