Setinggan pertanian tidak jejas pembangunan SVTP

 Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

GERIK - Tindakan sekumpulan setinggan pertanian yang menghalang tugas penguatkuasaan tidak menjejaskan pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di Kanthan, Chemor.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad optimis bahawa pembangunan kawasan yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri itu mengikut jadual berikutan fasa pertama projek berkenaan telah dimulakan Mei lalu.

"Fasa pertama telah dimulakan dan ia akan berterusan tanpa sebarang penangguhan kerana kita tahu tanah itu adalah kepunyaan kerajaan negeri kemudian PKNPk.

"Kita telah menawarkan tanah ganti kepada mereka (petani) dan kita teruskan mengikut undang-undang sedia ada mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program Bicara Profesional dan Apresiasi Menteri Besar Perak Bersama-Sama Warga Pendidik Daerah Hulu Perak di sini pada Jumaat.

Saarani berkata, aktiviti pertanian haram yang diusahakan setinggan pertanian lebih 11 tahun lalu menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

"Mereka yang mengusahakan tanaman secara haram tidak membayar premium tanah, cukai dan lesen pendudukan sementara (TOL) malah hasil pertanian tidak sampai kepada kerajaan negeri.

"Sebab itu kita buat keputusan 'menghalalkan' usaha mereka dengan menyediakan tanah ganti supaya mereka dapat membayarnya dan kita memperoleh situasi menang-menang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau tidak menafikan sikap degil petani untuk kekal kawasan itu adalah kerana pengaruh daripada sebuah parti politik yang mahu menjadi hero.

"Kita tahu sebahagian daripada mereka bersetuju menerima tawaran kita dengan membayar premium dan TOL sekali gus mereka menerima hasil untuk berpukuh tahun lamanya tempoh pajak itu.

"Cuma mereka tertipu, terpedaya dengan mainan sekumpulan politik yang partinya tenggelam, hendak hidup partinya dengan cara menjadi hero kepada petani ini," katanya.

Pada Selasa, tiga orang pemimpin politik dan seorang petani ditahan pihak polis semasa operasi bersepadu dijalankan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak di sebuah tapak projek SVTP di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua lelaki berusia antara 30 hingga 68 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Pada masa sama, kerajaan Perak menafikan berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa terhadap sekumpulan petani setinggan yang melakukan aktiviti pertanian secara haram di tapak projek SVTP itu.

Proses pengosongan tanah itu mengikut saluran undang-undang dengan mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu tuntutan berkenaan.