Pulau Pinang kekal pengeksport utama Malaysia pada September

Pulau Pinang menyumbang 34.6 peratus daripada jumlah eksport negara. - Foto fail Bernama
Pulau Pinang menyumbang 34.6 peratus daripada jumlah eksport negara. - Foto fail Bernama
A
A
A

PULAU PINANG kekal sebagai pengeksport utama Malaysia pada September 2023, menyumbang 34.6 peratus daripada jumlah eksport negara, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, empat negeri lain yang turut mencatatkan eksport tertinggi ialah Johor (19.3 peratus), Selangor (17.1 peratus), Sarawak (6.8 peratus) dan Kedah (5.0 peratus).

Beliau berkata, kelima-lima negeri itu menyumbang 82.8 peratus daripada eksport negara.

Semasa bulan tersebut, eksport dari Pulau Pinang turun 10.1 peratus tahun ke tahun kepada RM43 bilion, manakala import susut 15.2 peratus tahun ke tahun kepada RM20.9 bilion.

Keseluruhannya, jumlah perdagangan Malaysia bagi September 2023 berjumlah RM224.4 bilion, dengan eksport dan import masing-masing sebanyak RM124.5 bilion dan RM100.0 bilion.

Mohd Uzir berkata, eksport susut 13.7 peratus tahun ke tahun manakala import jatuh 11.1 peratus tahun ke tahun berikutan penurunan keseluruhan di kebanyakan negeri. - Bernama

Artikel Berkaitan: