Rodney ucap selamat tinggal kepada KDA FC?

Rodney mempunyai baki kontrak bersama KDA FC sehingga 2024 namun memohon untuk berpisah lebih awal melalui persetujuan bersama. - Foto KDA FC
Rodney mempunyai baki kontrak bersama KDA FC sehingga 2024 namun memohon untuk berpisah lebih awal melalui persetujuan bersama. - Foto KDA FC
A
A
A

PERTAHANAN tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rodney Celvin dilaporkan memilih haluan baharu walaupun masih mempunyai kontrak sehingga musim depan.

Rodney yang mesra dengan panggilan Bonai difahamkan telahpun mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya dengan lebih awal atas permintaan pemain itu sendiri.

Perkara tersebut didedahkan seorang penyokong tegar Sang Kenari, Muhammad Hazriq Fahimy Abdullah melalui Facebooknya dan menyifatkan satu kehilangan besar selepas Rodney hadir untuk bersama Kedah sebagai pemain pinjaman dari Selangor pada musim 2021 sebelum diikat secara tetap setahun kemudian.

"Apapun, berita ini adalah satu lagi tamparan hebat untuk bola sepak kita (Kedah).

"Berasa sedih dan masih terkejut dengan apa yang terjadi, namun kita menghormati pendirian yang telah dibuat oleh Bonai sendiri atas sebab sebab tertentu," katanya.

Jelasnya, pemain tersebut mendedahkan sebenarnya mahu terus kekal lama di Darul Aman dan menganggap Kedah sebagai rumah keduanya namun terpaksa melangkah keluar kerana masih perlu memikirkan tentang keluarganya.

Menurutnya, Rodney mengakui bersedia untuk kembali menyarung semula jersi Sang Kenari sekiranya khidmatnya masih diperlukan oleh pasukan tersebut pada musim akan datang.

Tidak mendedahkan punca sebenar pemain itu mahu berpisah dengan Sang Kenari, Muhammad Hazriq berkata, berat hati buat penyokong KDA FC untuk melepaskannya namun Rodney perlu pergi demi kehidupan dan perjuangan yang harus diteruskan.

Skuad kendalian Nafuzi Zain yang dalam misi memberi tumpuan pada baki empat perlawanan akhir Liga Super 2023 untuk merebut tempat kedua pastinya terkesan dengan kehilangan pemain tersebut.

Artikel Berkaitan:

KDA FC dijadualkan menerima kunjungan Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super seterusnya pada petang Sabtu di Stadium Darul Aman.