YTL, KPT jalin kerjasama penyelidikan kars batu kapur

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT, diwakili Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi,Profesor Dr Azlinda Azman (kiri depan) dan YTL Cement Berhad (YTL) diwakili Pengarah Eksekutif Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd, Hamidah Maktar (kanan depan) pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT, diwakili Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi,Profesor Dr Azlinda Azman (kiri depan) dan YTL Cement Berhad (YTL) diwakili Pengarah Eksekutif Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd, Hamidah Maktar (kanan depan) pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Buat julung kalinya YTL Cement Berhad (YTL) menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menjalankan penyelidikan Kelestarian Kars Batu Kapur Tropika.

Penyelidikan itu dilakukan menerusi Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri pertama di negara ini di beberapa negeri selama lima tahun dengan geran padanan RM1.6 juta daripada YTL.

Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara YTL dan KPT disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Cement, Datuk Yeoh Soo Keng di Dewan Za'ba KPT pada Khamis.

Penyelidikan batu kapur itu membabitkan 40 mahasiswa ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PHD) dari lima universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak.

Mohamed Khaled berkata, sasaran utama usaha sama itu adalah untuk membina kapasiti dan kepakaran yang boleh membantu negara memulihara warisan landskap kars batu kapur serta penggunaan sumber secara lestari.

Ibrahim Komoo
Ibrahim Komoo

"Saya harap lebih banyak lagi syarikat swasta tampil bekerjasama seperti dilakukan oleh YTL," katanya.

Sementara itu, Soo Keng ketika ditemui berkata, penyelidikan itu mempunyai kepentingan yang besar dalam pelbagai bidang untuk negara.

Artikel Berkaitan:

"Bukit batu kapur yang unik di dalam landskap ini mempunyai nilai estetika dan pendidikan sekali gus mampu menarik minat pelancong selain kaya dengan warisan biologi, sejarah serta arkeologi," katanya.

Pengarah Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri, Professor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, landskap kars batu kapur hanya merangkumi tiga peratus di muka bumi yang mana di Malaysia terdapat di beberapa negeri sahaja.

"Walaupun mempunyai nilai sangat tinggi tetapi pengetahuan mengenainya kurang diketahui," katanya.

Ujarnya, terdapat pelbagai gua dan lorong sungai yang terletak di bawah batu kapur dan mempunyai pelbagai bentuk.

"Di puncaknya pula terdapat pelbagai tumbuhan yang lasak dan ini akan diterokai oleh para penyelidik yang terdiri daripada mahasiswa ijazah sarjana dan PHD," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Geopark and Geotourism Creative Solutions berkata, penyelidikan memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu geodiversiti dan landskap kars batu kapur tropika, biodiversiti dan ekosistem, arkeologi, sejarah serta budaya.

Selain itu ia turut memberi tumpuan terhadap bidang ekonomi dan pengurusan lestari sumber batu kapur serta penggunaan lestari landskap kars batu kapur tropika untuk pemuliharaan dan pendidikan awam.