Guru mengaku tidak bersalah liwat pelajar

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Khamis.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang guru yang juga warden asrama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki.

Tertuduh, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Siti Noraidi Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 16 tahun dengan cara memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dalam sebuah bilik asrama maahad tahfiz di Benut, Pontian pada Julai dan November tahun lalu dan Mac lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguam Omar Kutty Abdul Aziz memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang berpendapatan RM1,800 sebulan menanggung isteri yang sarat mengandung anak pertama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat-syarat tambahan.

Mahkamah menetapkan 23 Julai bagi tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.