42 graduan UMPSA terima diploma CBTM

A
A
A

42 graduan CBTM yang berjaya menamatkan pengajian mereka.
42 graduan CBTM yang berjaya menamatkan pengajian mereka.

GAMBANG - Seramai 42 graduan program Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM) 4.0 telah berjaya menamatkan pengajian mereka sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA), di sini pada Selasa lalu.

Majlis penganugerahan diploma itu disempurnakan Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang mana CBTM merupakan program usaha sama universiti itu dengan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terdiri daripada pentadbir universiti awam melalui Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Sehingga kini, program CBTM telah melahirkan 157 graduan sehingga kohort keempat.

Timbalan Pengarah Pusat Pemprofilan Kepimpinan AKEPT, Profesor Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah, program CBTM merupakan satu-satunya program komprehensif yang meliputi pengenalan, analisis dan aplikasi kompetensi untuk pengurusan bakat.

Malah, beliau yang juga graduan CBTM 4.0 itu berkata, program CBTM turut menawarkan modul-modul relevan dan terkini yang memberi manfaat besar kepada para pelajar.

“Ia juga menepati keperluan asas CBTM yang telah direka bentuk khas untuk individu yang ingin mendalami bidang pengurusan bakat atau sumber manusia dengan menggunakan kompetensi sebagai penanda aras.

“Dalam era yang menuntut peranan baharu pengurusan bakat sumber manusia, CBTM bertindak sebagai pendekatan pengenalpastian, penilaian dan pengukuhan kompetensi bakat, bagi menjelaskan serta meningkatkan sumbangan bakat kepada institusi masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama dalam majlis konvokesyen itu ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMPSA merangkap Ahli Lembaga Pengarah UMP Advanced, Profesor Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Dr. Ahmad Johari Mohamad.

No Image Caption

Tambah Norazharuddin Shah, CBTM juga turut bertepatan dengan perubahan semasa yang mula menerapkan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data berkaitan dengan pembangunan bakat dan potensi seseorang individu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kepimpinan dan Kompetensi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr. Hazana Abdullah berkata, program Diploma CBTM merupakan salah satu keperluan bagi jawatan pentadbir universiti awam.

“Program ini banyak membantu aspek penanda aras dan penilaian pelaksanaan CBTM sedia ada dan boleh dijadikan platform pertukaran maklumat yang berupaya menjadi pencetus perubahan dalam pentadbir universiti-universiti di Malaysia,” ujarnya yang turut menerima diploma CBTM.

Kejayaan program CBTM ini telah berjaya dibuktikan dengan pelaksanaan kelas kohort kelima hasil daripada komitmen bersama antara semua pihak dalam usaha memberikan pendidikan serta pengetahuan baharu bagi memastikan pengurusan bakat di UA dapat diuruskan dengan cemerlang.