Lima individu, 17 bot pam ditahan di ESSZone

Antara individu yang diperiksa dalam operasi yang dikoordinasikan oleh ESSCom di Semporna.
Antara individu yang diperiksa dalam operasi yang dikoordinasikan oleh ESSCom di Semporna.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 17 bot pam dirampas dan lima individu ditahan Eastern Sabah Security Command (ESSCom) menerusi Operasi Gasak Laut (OGL) Pambot dan Operasi Bersepadu (OB) yang dilaksanakan di Semporna dan Kunak pada Rabu.

Komander ESSCom, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi itu adalah bagi membanteras penyalahgunaan bot pam dengan membawa kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan barangan, rompakan, pengeboman ikan dan dadah yang boleh mengancam keselamatan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Menurutnya, operasi di kedua-dua daerah tersebut melibatkan seramai 210 pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan dan agensi penguat kuasa keselamatan Persekutuan dan Sabah serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Melalui OGL Pambot di Semporna, seramai 17 individu dan 18 bot pam diperiksa di sepanjang pesisir pantai dan perairan yang menjadi laluan bot berkenaan untuk masuk ke Pekan Semporna.

"Hasilnya, seramai tiga PATI dari Filipina ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Semporna atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.

"Selain itu, seorang pemilik bot pam telah dikompaun dan sebanyak 17 bot pam telah dirampas serta diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) Semporna untuk tindakan pelupusan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Victor berkata, seramai 115 individu turut diperiksa dalam OB di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan dan tumpuan PATI iaitu sekitar perkampungan air di pesisir Kunak.

"Daripada pemeriksaan itu, dua daripadanya telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak di bawah Seksyen 12 (2)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah jenis syabu 0.20 gram dan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Victor berkata, menerusi rampasan dan tangkapan kedua-dua operasi itu dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan jenayah rentas sempadan di kawasan tersebut.

"Saya memandang serius berhubung kesalahan tersebut menerusi OGL Pambot dan OB yang menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran, menahan dan melupuskan bot pam tanpa lesen.

"Ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan jenayah rentas sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI serta membasmi kawasan 'staging point' elemen jenayah rentas sempadan.

"Selain itu, kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen pencegahan dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan dan pesisir pantai Kunak dan Semporna," ujarnya.