Muhammad Ammar Aiman tak sabar 'tayang' emas di kampung

Atlet olahraga negara Muhammad Ammar Aiman menunjukkan pingat emas yang dimenanginya dalam acara akhir 400 meter lelaki T20 sempena temasya Sukan Para Asia Hangzou 2023 di Stadium Huang Long, pada Rabu. - Foto Bernama
Atlet olahraga negara Muhammad Ammar Aiman menunjukkan pingat emas yang dimenanginya dalam acara akhir 400 meter lelaki T20 sempena temasya Sukan Para Asia Hangzou 2023 di Stadium Huang Long, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PENGORBANAN tidak pulang ke kampung selama tiga bulan ternyata berbaloi apabila atlet olahraga Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi membutirkan pingat emas keenam kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia Hangzhou 2022 pada Rabu.

Malah, atlet berusia 21 tahun yang membuat penampilan sulung di temasya itu berkata, beliau tidak sabar untuk kembali ke tanah air dan berkongsi kejayaan berganda yang diraihnya dalam acara 400 meter (m) T20 (kecacatan intelektual) bersama keluarga tercinta di Pontian, Johor.

"Gembira selepas dapat pingat emas ini. Banyak cabaran saya perlu tempuh termasuk berlatih tanpa henti sebelum berjaya membawa pulang pingat emas ini.

"Saya rasa puaslah. Ternyata kerja keras termasuk tidak pulang ke kampung di Pontian membuahkan hasil. Saya tidak sabar untuk pulang bertemu mereka (keluarga)," katanya kepada Bernama.

Pada saingan final 400m lelaki T20 di Stadium Pusat Sukan Huang Long, Muhammad Ammar Aiman mencatatkan masa 47.60 saat (s) untuk muncul juara, sekali gus memperbaharui rekod temasya mengatasi 49.32s milik pelumba Malaysia Nasharuddin Mohd.

Lebih manis, catatan dilakukannya itu turut memadam rekod Asia milik atlet Iran Milad Ramazani 47.80s, dengan kedua-dua atlet itu turut bersaing dalam acara final hari ini.

Wakil Indonesia, Alfin Nomleni memenangi pingat perak dengan 49.07s manakala gangsa milik Milad Ramazani (50.43s). - Bernama

Artikel Berkaitan: