Lelaki maut, dua motosikal bertembung

Keadaan dua buah motosikal yang terbabit dalam kemalangan tersebut di KM3 Jalan Sungai Koyan 3 pada Selasa. - Foto Ihsan PDRM
Keadaan dua buah motosikal yang terbabit dalam kemalangan tersebut di KM3 Jalan Sungai Koyan 3 pada Selasa. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seorang lelaki maut selepas dua motosikal bertembung di Kilometer (KM) 3, Jalan Sungai Koyan 3 di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Zahary Tazlan, 51, beralamat Felda Sungai Koyan 3 meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Koyan.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, penunggang motosikal iaitu seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bersama pembonceng, adiknya dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Koyan hendak ke arah Sungai Koyan 3.

"Sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi remaja itu dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit dan berselekoh.

"Ia menyebabkan kenderaan tersebut telah masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar secara berhadapan dengan motosikal yang ditunggangi mangsa," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar Azli, kedua-dua penunggang itu telah dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan 3 untuk mendapatkan rawatan lanjut dan adik remaja terbabit tidak mengalami kecederaan.

Tambah beliau, kira-kira jam 5.20 petang, Zahary disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dan remaja tersebut mengalami kecederaan parah di kepala sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

"Siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: