Langkah naikkan kadar SST tidak tepat - Ismail Sabri

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan untuk menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam Belanjawan 2024 mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, keputusan menaikkan kadar SST sebanyak dua peratus juga dilihat sebagai langkah tidak tepat.

“Meskipun kenaikan ini tidak melibatkan makanan dan minuman, harus difahami ia akan memberi kesan berantai kepada semua aspek yang turut mendorong kenaikan kepada barang-barang asas.

"Ini kerana peniaga tidak akan menyerap kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka.

"Justeru saya sekali lagi berpendirian bahawa sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan pada tahun 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 minggu lalu, mengumumkan kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus, tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding SST.

“Ketika GST dihapuskan, negara hilang kira-kira RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun akibat ‘black economy’ kerana kita tidak dapat pantau mereka yang tidak membayar cukai.

Artikel Berkaitan:

“Kenaikan cukai SST sebanyak dua peratus ini juga hanya memberi hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara. Malah firma audit antarabangsa, Deloitte meramalkan kenaikan dua peratus SST hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM900 juta.

“Adakah ini berbaloi dengan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat,” ujarnya.