Mangsa tragedi runtuhan Gunung Cheroh masih trauma

Joyah
Joyah
A
A
A

IPOH - Tragedi runtuhan Gunung Cheroh di sini yang mengorbankan kira-kira 40 individu pada 18 Oktober 1973 masih mengundang trauma kepada waris dan mangsa meskipun sudah 50 tahun berlalu.

Seorang mangsa, Joyah Saad, 61, berkata, kejadian tersebut masih segar di ingatan walaupun ketika itu baru berusia 9 tahun.

Menurutnya, disebabkan kejadian itu juga bapa dan seorang kakaknya terkorban dalam runtuhan batu kapur berkenaan.

"Ketika itu hujan lebat dan tiba-tiba sepohon pokok besar tumbang menghempap rumah. Saya dibawa keluar oleh orang ramai dan tak sempat nak tengok apa yang jadi.

"Ayah saya ketika itu sedang mandi manakala kakak berada di rumah jiran membuat persiapan menjelang Deepavali, tapi malangnya mereka tak sempat selamatkan diri daripada runtuhan itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Tempat Kejadian Gunung Cheroh di sini pada Selasa.

Sivanesan (dua dari kanan) melihat maklumat dipamerkan Arkib Negara Malaysia mengenai kejadian runtuhan berkenaan ketika Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Tempat Kejadian Gunung Cheroh pada Selasa.
Sivanesan (dua dari kanan) melihat maklumat dipamerkan Arkib Negara Malaysia mengenai kejadian runtuhan berkenaan ketika Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Tempat Kejadian Gunung Cheroh pada Selasa.

Joyah berkata, sejak kejadian itu, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan tersebut kerana terlalu sedih mengenangkan apa yang berlaku.

Hanya selepas 50 tahun barulah dia memberanikan diri melihat lokasi kejadian setelah menerima jemputan daripada penganjur.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan yang menyempurnakan majlis tersebut berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia akan mendokumentasi kejadian tersebut untuk rujukan serta ingatan generasi pada hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan membina tugu peringatan serta galeri bagi memperingati kejadian itu.

Kejadian runtuhan Gunung Cheroh, Jalan Raja Musa Aziz di sini, berlaku pada 18 Oktober 1973, iaitu seminggu sebelum sambutan perayaan Deepavali.

Tragedi itu mengorbankan nyawa 40 individu, manakala mangsa-mangsa yang terselamat telah dipindahkan ke Perkampungan Kacang Puteh, Buntong di sini.