Kepulauan di Melaka mampu setanding Langkawi

Noorazhar (dua dari kanan) dan Siti Aminah berbincang mengenai geopark Melaka bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob (dua dari kiri) di Pulau Besar, Melaka.
Noorazhar (dua dari kanan) dan Siti Aminah berbincang mengenai geopark Melaka bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob (dua dari kiri) di Pulau Besar, Melaka.
A
A
A

MELAKA - Melaka mampu menjadi pusat peranginan setaraf Langkawi selepas penyelidik mengesan potensi kepulauan di negeri ini untuk diiktiraf sebagai gugusan geopark kedua negara.

Timbalan Pengarah Perancangan dan Pemantauan Pembangunan Jabatan Mineral dan Geosains, Noorazhar Ngatimin berkata, satu kajian pelan pembangunan dan pengurusan geopark Melaka sudah dimulakan sejak Mei tahun lalu berikutan empat geotapak iaitu Tanjung Tuan, Pulau Undan, Pulau Besar dan Pulau Upeh memiliki keunikan tersendiri.

Menurutnya, kajian dilaksanakan sehingga 2026 merangkumi kepelbagaian warisan geologi, biodiversiti dan nilai budaya tinggi di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dalam usaha mengangkat Melaka sebagai geopark, terdapat sedikit kekangan dari segi persempadan di Tanjung Tuan dan jika diselesaikan, negeri ini tidak mustahil mempunyai geopark sendiri.

Pulau Undan antara pulau yang berpotensi dimajukan setanding Langkawi.
Pulau Undan antara pulau yang berpotensi dimajukan setanding Langkawi.

“Melaka masih dalam kajian dan kita akan melihat ciri yang boleh diangkat sebagai sebuah geopark.

“Kita cuba perkenalkan produk baharu di kepulauan Pulau Besar dan sekitarnya iaitu geotapak kepulauan dan akan terus memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keistimewaan pulau ini,” katanya ketika ditemui di Pulau Besar, di sini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka, Siti Aminah Abdul Sarif dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob.

Artikel Berkaitan:

Noorazhar berkata, kajian yang dilakukan dapat menyediakan pendidikan pelancongan selain pengunjung berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi di pulau berkenaan.

Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar di Rumah Api yang dibina pada 1880 di Pulau Undan, Melaka.
Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar di Rumah Api yang dibina pada 1880 di Pulau Undan, Melaka.

Sementara itu, Siti Aminah berkata, semua lokasi mempunyai keunikan tersendiri dengan pencirian nilai sumber warisan meliputi saintifik, rekreasi, estetik dan budaya untuk diangkat sebagai geo produk pelancongan baharu.

Menurut Siti Aminah, menerusi kajian itu juga, pihaknya mendapati kawasan Tanjung Tuan mempunyai geologi dan geodiversiti kompleks batuan yang berusia lebih 400 juta tahun.

“Manakala di Pulau Besar juga terdapat unjuran Banjaran Granit Titiwangsa yang menganjur sehingga ke kawasan ini selain mempunyai fitur geologi unik manakala di Pulau Undan terdapat satu tembolo iaitu beting pasir yang berubah mengikut musim.

“Ini mampu menarik pengunjung menikmati alam semula jadi yang unik,” katanya.