Segerakan Akta Jerebu Rentas Sempadan

Isu jerebu bukan sesuatu yang asing dalam kalangan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia kerana ia sudah berbangkit sejak lewat tahun 1990-an. - Gambar hiasan
Isu jerebu bukan sesuatu yang asing dalam kalangan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia kerana ia sudah berbangkit sejak lewat tahun 1990-an. - Gambar hiasan
A
A
A

ISU jerebu bukan sesuatu yang asing dalam kalangan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia kerana ia sudah berbangkit sejak lewat tahun 1990-an.

Namun sehingga kini, tidak nampak ada jalan penyelesaian yang menyeluruh, sedangkan musim jerebu terus berlaku ibarat satu ‘acara tahunan’.

Keadaan cuaca panas ditambah kualiti udara di tahap tidak sihat bukan sahaja memberi kesan kesihatan, malah memberi implikasi terhadap produktiviti ekonomi negara.

Sikap sesetengah pihak melakukan pembakaran terbuka di hutan atau kawasan pertanian bagi menjimatkan kos mengundang kepada pencemaran alam sekitar secara langsung.

Tanpa mereka sedari, masalah itu membawa petaka besar kepada beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura yang turut menerima tempias udara tidak sihat.

Kes terbaharu, jerebu melanda kawasan Semenanjung Malaysia beberapa hari lalu. Puncanya adalah kebakaran melibatkan belukar tanah gambut berkeluasan 32 hektar di Kota Tinggi, Johor yang mula dikesan sejak 15 Oktober lalu.

Berikutan itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian di kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka.

Setiap kali jerebu melanda negara, perkara yang menjadi kegusaran penulis ialah terpaksa siap sedia mendapatkan rawatan di klinik berikutan mengalami penyakit asma.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, penulis juga sukar untuk melakukan sebarang aktiviti di luar rumah dan menjadi pasif kerana mengalami masalah sesak nafas yang agak serius.

Perkara yang paling membimbangkan apabila penulis terpaksa menggunakan mesin yang mengandungi ubat untuk disedut sehingga ke paru-paru kerana mengalami serangan asma akut.

Berdasarkan pengalaman sendiri ini, penulis dapat menyelami masalah dihadapi orang ramai terutama pesakit asma, sekali gus menunjukkan isu tersebut amat penting untuk diselesaikan.

Persoalannya sampai bila masalah jerebu akan menemui penyelesaian secara tuntas?

Pada 2019, Malaysia membawa isu jerebu rentas sempadan yang menjejaskan rakyat negara ini ke Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN ke-15 mengenai Alam Sekitar (AMME) di Siem Reap, Kemboja.

Ia berjaya menarik perhatian negara anggota untuk menangani bencana tahunan tersebut secara bersama.

Malangnya, sehingga kini cadangan mewujudkan Akta Jerebu Rentas Sempadan terus senyap, seolah-olah isu alam sekitar merupakan perkara remeh.

Justeru, langkah lebih agresif perlu dilakukan dalam menangani isu tersebut, lebih-lebih lagi kita sedang menuju ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

Jika isu jerebu tidak diselesaikan secara bersama oleh negara-negara serantau, agak sukar untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Indonesia juga tidak boleh hanya mendiamkan diri kerana pembakaran ladang kelapa sawit untuk tujuan pertanian bukan menjadi isu domestik, tetapi sudah menjadi masalah antarabangsa.

Masalah pembakaran terbuka untuk tujuan pertanian akan merosakkan ekosistem kawasan terbabit dan menyebabkan kematian haiwan serta tumbuhan.

Proses untuk memadamkan api mengambil masa yang lama dan jika kawasan tersebut lebih luas sudah tentu ia menyukarkan anggota keselamatan menyelesaikan masalah berkenaan.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan Indonesia berkenaan cadangan kerjasama dua hala untuk menangani masalah jerebu.

Oleh demikian, kerajaan Malaysia dan negara serantau perlu segera menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak hampir 30 tahun ini dengan segera merangka kerja rang undang-undang berkaitan Akta Jerebu Rentas Sempadan.

Sekiranya perkara tersebut gagal mencapai kata sepakat, yang menerima akibatnya adalah masyarakat.

Sampai bila kita hendak terus menanggung kesengsaraan akibat perbuatan tidak bertanggungjawab satu pihak lain?

* Farhana Abd Kadir ialah Wartawan Sinar Harian