Lelaki ditahan tampar petugas kesihatan ambil sampel jentik-jentik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis menahan seorang lelaki kerana menampar petugas Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) yang sedang mengambil sampel jentik-jentik di rumah suspek di Taman Melati, Bayan Baru, dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika petugas JKNPP itu sedang membuat pemeriksaan nyamuk aedes di kawasan perumahan terbabit.

"Menurut lelaki itu, semasa dia sedang mengambil sampel jentik-jentik di kediaman suspek, tiba-tiba suspek datang dan terus menamparnya pada bahagian muka beberapa kali sehingga petugas berkenaan mengalami luka kecil pada bahagian dahi.

"Petugas JKNPP itu membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

"Bertindak daripada laporan itu, kami menahan lelaki berumur 44 tahun itu di rumahnya semalam kerana dia turut menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa insiden itu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Kamarul Rizal berkata, lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 332 Kanun keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: