Perlu perdamaian politik dalam ekonomi, selesai isu hutang negara

Mohd Shahar
Mohd Shahar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perlu ada perdamaian politik dalam ekonomi untuk mencari penyelesaian kepada isu hutang negara, kata Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, isu hutang negara tidak perlu dijadikan modal politik untuk meraih sokongan dan menuding jari hanya akan mendorong negara ke arah permasalahan tanpa penghujung.

"Semua parti di dalam Dewan ini mempunyai pengalaman kerajaan memerintah.

"Kita tahu apa sebenarnya yang berlaku dan apakah tindakan yang telah dilaksanakan semasa menjadi kerajaan untuk mengatasi segala krisis dan ketidaktentuan ekonomi global pada masa itu.

"Saya memohon Kementerian Kewangan mengadakan sesi libat urus dengan semua parti dalam kadar segera sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang untuk memulihkan ekonomi kita.

"Kebersamaan kita adalah teras kepada kejayaan pemulihan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau turut menekankan empat perkara utama yang perlu diperhalusi oleh kerajaan iaitu cara paling tepat untuk terbitan hutang, masa yang sesuai untuk terbitan hutang, kos yang ditanggung bersesuaian dengan kadar lonjakan ekonomi pada masa akan datang dan sama ada terbitan hutang akan memberi impak positif atau negatif terhadap peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Negara kita sentiasa dinilai bagaimana kita memenuhi kewajipan hutang dengan cara yang tepat dan masa secara kos efektif serta mengurangkan risiko krisis kewangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kewangan turut diminta menambah baik nilai kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) bagi memperbaiki persepsi pelabur luar terhadap negara.

Mohd Shahar berkata, untuk meningkatkan IIP, Malaysia mesti mempunyai pegangan aset-aset kewangan di luar negara berbanding pelabur luar yang memiliki aset-aset kewangan negara.

"Saya memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan bagaimana untuk meningkatkan kadar kedudukan pelaburan kerana nisbahnya, jika kita naikkan satu peratus kenaikan IIP, bermakna nilai ringgit akan mencatatkan kenaikan sebanyak 0.08 peratus," katanya.

Beliau berkata, kepercayaan kelayakan kredit sesebuah negara yang dijalankan oleh agensi penarafan kredit seperti Moody's, Fitch dan S&P Global Ratings amat penting kerana ia mencerminkan kewibawaan negara sebagai destinasi pelaburan yang mampan dan berkualiti.

Mohd Shahar berkata, kesan penurunan penarafan dan unjuran kepada ekonomi dan kewangan negara termasuk menyebabkan aliran keluar modal kerana sentimen pelabur yang lemah.

"Persoalannya bagaimana kita hendak mengatasinya?

"Bilakah Akta Tanggungjawab Fiskal akan dikuatkuasakan dan bilakah kerajaan akan membentangkan Akta Perolehan di Dewan Rakyat untuk memastikan pematuhan tatakelola dapat ditambah baik?” katanya. - Bernama