Jerayawara Jelajah Pendidikan mula tahun depan - KPM

Fadhlina Sidek - Foto Bernama
Fadhlina Sidek - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan Jerayawara Jelajah Pendidikan ke seluruh negara bermula tahun hadapan bagi mendapatkan pandangan berhubung pelan pembangunan pendidikan berkaitan kurikulum persekolahan baharu 2027.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, antara elemen baharu yang akan diteliti termasuk pendidikan karakter, fleksibiliti dan aspek pendigitalan.

"Sebagaimana disebut dalam ucapan belanjawan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (13 Oktober lepas), (beliau) menyebut tentang jerayawara yang berkait rapat dengan pendidikan masa depan.

"Jadi selepas ini anjakan yang kita akan lakukan adalah melakukan jerayawara ini di seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat segmen komuniti yang merupakan pihak berkepentingan dalam pendidikan untuk menjayakan yang kita sebut agenda pendidikan masa depan," katanya kepada media selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM di sini pada Ahad.

Beliau berkata, KPM mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak berkaitan pembangunan kurikulum baharu pendidikan negara.

"Kita nak input dan pembabitan daripada semua peringkat masyarakat untuk memperkukuh sistem pendidikan negara," katanya.

Sebelum ini, Fadhlina dilaporkan berkata, KPM akan mencadangkan kerangka pendidikan menyeluruh dan pelan pendidikan baharu yang mengambil kira faktor global dan dasar dalam pembentukan karakter warganegara.

Beliau berkata, pelan pembangunan pendidikan baharu itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan latihan kompetensi guru dan kebolehpasaran individu dalam bidang pekerjaan, dalam dan luar negara.

Sementara itu, semasa berucap di hadapan lebih 700 graduan, Fadhlina berkata, guru perlu menjadikan kod etika keguruan seperti dalam Standard Guru Malaysia 2.0 sebagai rujukan bagi menjaga imej, maruah, status, akhlak dan keperibadian seorang guru.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, hayati dan praktikkanlah semua prinsip etika profesion keguruan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai guru demi menjaga kemuliaan dan memartabatkan profesion keguruan. Guru perlu sentiasa menjadi contoh yang baik kepada semua," katanya.

Istiadat Konvokesyen IPG KPM ke-13 diadakan selama empat hari bermula hari ini melibatkan 5,725 graduan yang menamatkan pengajian serta latihan perguruan di 27 IPG Kampus dan English Language Teaching Centre. - Bernama.