Syria Care kumpul 1,135 kotak pakaian musim sejuk

Bantuan pakaian musim sejuk untuk dihantar kepada pelarian Syria di Lubnan.
Bantuan pakaian musim sejuk untuk dihantar kepada pelarian Syria di Lubnan.
A
A
A

SHAH ALAM - Syria Care berjaya mengumpulkan sebanyak 1,135 kotak pakaian sejuk untuk pelarian Syria menerusi projek ‘Warm Their Winter’ setakat jam 7 petang pada Sabtu.

Pengurus Besar Syria Care, Muaz Abd Muein berkata, pihaknya tidak menyangka kutipan bantuan itu melebihi sasaran awal iaitu 756 kotak menyebabkan mereka perlu menggunakan perkhidmatan kontena kedua untuk menyelesaikan penghantaran bantuan tersebut.

“Pada mulanya, kami sasarkan untuk guna satu kontena saja untuk hantar bantuan ini tetapi tidak sangka projek ini mendapat sambutan orang ramai memandangkan kini ada konflik rejim Zionis dan kuasa beli juga menurun.

"Kami juga masih mengharapkan sumbangan orang ramai bagi membantu menampung kos penghantaran bantuan kepada pelarian Syria sebelum tiba musim sejuk dan dana diperlukan masih berbaki sebanyak RM90,000,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut Muaz, tempoh penghantaran mengambil masa sebulan dan pihaknya menjangkakan bantuan yang dihantar pada Ahad akan tiba di Lubnan akhir November ini.

Sukarelawan menyusun atur pakaian musim sejuk untuk di hantar kepada pelarian Syria di Lubnan.
Sukarelawan menyusun atur pakaian musim sejuk untuk di hantar kepada pelarian Syria di Lubnan.

Justeru, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi tabung ‘Warm Their Winter’ menerusi akaun Maybank (562106653575) atau CIMB (8601894560) dengan rujukan ‘sinarwinter’.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Syria Care menjalin kerjasama dengan Sinar Karangkraf untuk membantu masyarakat utara Syria serta Lubnan menerusi Projek Winter Aid 11.0 dengan sasaran sumbangan RM1.3 juta membabitkan tiga aspek bantuan iaitu pakaian musim sejuk (Warm Their Winter), bantuan bahan bakar (Fueld Aid) dan bantuan kotak makanan asas (OderFood).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muaz menzahirkan ucapan penghargaan kepada rakan kerjasama utama iaitu Sinar Karangkraf, Min Qalby Foundation dan World Peace Entertainment serta pihak Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menyediakan dewan untuk memastikan operasi pengumpulan pakaian itu berjalan lancar.

"Terima kasih kepada orang ramai yang memberikan sumbangan terutamanya bagi mereka yang sanggup datang dari jauh iaitu Kedah, Melaka serta Johor semata-mata untuk menyerahkan sumbangan.

“Tidak lupa kepada Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), De Haramain, Sasuke Bundle, Moon’s Kitchen dan Jakel Shah Alam," ujarnya.

Tambah Muaz, sokongan daripada pihak universiti yang menghantar sukarelawan dari Briged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Management Science University (MSU), Kolej Poly-Tech Mara cawangan Bangi (KPTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Politeknik Nilai dan Universiti Malaya (UM) juga dihargai.