Mencari kebenaran sastera

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SALAH satu falsafah sastera ialah mencari kebenaran.

Sastera dicipta tidak lain daripada mencari kebenaran.

Sejak sastera diperkenalkan sebagai korpus epistemologi, konsep truth in literature menjadi subjek yang prima zaman berzaman.

Pengarang setiap zaman itu mencari cara terbaharu berkarya semata-mata untuk mencari jalan bagaimana mencapai kebenaran.

Dan kebenaran itu ibarat mutiara yang tersimpan di dasar laut atau yang terserlah seperti intan di permukaan air.

Jika dilihat dari sudut ini, tugas kesusasteraan itu tidak ada bezanya dengan ilmu falsafah yang juga berfungsi untuk mencari kebenaran.

Kedua-duanya paralel dalam memenuhi hajat masing-masing.

Sastera bekerja melalui teks-teks karya kreatif dan tulisan-tulisan teoritis, sementara falsafah melalui pemikiran dan idea-idea tentang sesuatu subjek.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, zaman ini kita berada dalam politik negara sentiasa sahaja dalam konflik, perbalahan dan pertentangan antara pelbagai blok parti politik terjadi setiap hari, barang-barang makanan pula tidak menentu keadaannya.

Wang sudah banyak jatuh nilainya.

Dalam situasi begini, idea dan kognitif pengarang dituntut untuk mencari kebenaran.

Di manakah silapnya? Pengarang menggunakan kognisinya untuk menyelesaikan situasi. Pengarang tidak patut hanya berdiam diri.

Menafikan kewujudan konflik. Atau hanya sibuk menyanyi dengan pelbagai rima di pelbagai pesta-pesta sastera.

Teringat dua karya Mochtar Lubis yang berbicara untuk memenuhi maqasid falsafah sastera itu.

Novelnya Harimau! Harimau! (1975) serta Maut dan Cinta (1977) mengkritik praktik kepemimpinan politik Indonesia.

Novel pertama secara simbolik dilukiskannya melalui pencari damar yang diintip oleh seekor harimau.

Timbul kepercayaan dalam kalangan mereka ada yang melakukan dosa, jika tidak masakan harimau itu mengekori mereka.

TERBONGKAR

Harimau dapat dibunuh, tetapi bagi Wak Katok yang menjadi pemimpin pendamar itu, segala rahsia, tirani dan pengkhianatan terbongkar.

Sewaktu novel ini sampai ke tangan saya, tidak kurang tiga kali saya membacanya kerana penceritaannya menarik, halus dan bersahaja sehingga kedurjanaan seorang pemimpin dapat dibuka.

Mochtar Lubis sebenarnya mengkritik pemimpin Order Lama di Indonesia.

Pemimpin harus membersihkan dirinya dan tidak hanya mementingkan diri sendiri agar sifatnya diteladani oleh pemimpin lainnya.

Novel ini masih dibaca dan mengesankan justeru kejayaannya memenuh cita rasa falsafah sastera.

Dalam Maut dan Cinta, Mochtar Lubis melunaskan ‘jika pemimpin memperkaya diri sendiri, berdusta, mensia-siakan rakyat, itu ertinya mereka menanam benih kehancuran mereka sendiri.

Betapa pemimpin yang berkuasa akan pamer kemewahan tanpa mempedulikan kemiskinan... orang yang berani mengkritik akan diteror, ditangkap dan diserkap dalam penjara tanpa diadili.

Tidak. Tak mungkin ada pemimpin Indonesia yang jadi iblis dan bajingan serupa itu.

Jelaslah pengarang yang berani dan bijak ini menuntut moral pemimpin yang tinggi dan kesemuanya dilukiskan dengan nyata dan tegas, namun tidak menyentuh mana-mana peribadi sedangkan kita ketahui siapa orangnya.

Karya sedemikian mahu membebaskan dirinya daripada subordinasi politik.

Richard Harland pengemuka teori sastera pascamoden Australia, menjelaskan bahawa konsep truth in literature perlu dipegang walaupun pengarang itu di peringkat muda dan remaja.

Kenihilannya membawa pengarang itu tiada arah dalam penulisan sejak dari zaman awalnya lagi.

Dengan itu membawa pengarang itu akan teraba-raba dan tersesat apabila dewasa.

Dengan mempelajari dan menguatkan dalam dirinya akan falsafah kebenaran sastera, pengarang akan membuka matanya untuk menyaksikan pelbagai fenomena dalam masyarakatnya.

Richard Harland menganjurkan kaedah falsafah logik analitik dan formal semantik, sebagai kudrat pengarang menghidu persoalan penting dalam zamannya.

Harland menegaskan, walaupun teks sastera itu ada unsur-unsur fiksyen tetapi ia tetap mempunyai kebenaran yang boleh dipegang.

Dengan pandangan ini sebenarnya penteori ini ingin mengangkat taraf teks sastera kreatif, yang selama ini diragui unsur-unsur kebenarannya.

Ramai orang menyatakan sastera tidak lain, hanya penuh dengan khayalan dan imaginasi pengarang.

Mungkin pandangan ini benar, kata Harland, ada pengarang yang terlalu mengagung-agungkan unsur citra dan ilusi.

Karya terapung-apung dan terus menerus dialun oleh gelombang lautan, terputus dengan bumi yang dipijakinya.

Tetapi, pengarang yang sedar tujuan agung dia berkarya tidak akan lupa tugasnya hakikinya.

Dia akan mendampingi kontekstualnya.

TINDAKAN MORAL

Kaedah pemikiran Immanuel Kant, filosuf German terkenal itu, yang mempengaruhi sebahagian karya terbesar di Eropah menyatakan bahawa kebenaran sastera, noumena hanya akan dapat dicapai melalui tindakan moral.

Kehidupan manusia sering terdorong ke arah korup dan manipulatif, istimewa kepada mereka yang berkuasa tetapi tidak mempunyai benteng agama.

Pemimpin-pemimpin ini melalui slogan kepentingan negara selalu menjual bangsanya untuk pemuasan diri sendiri.

Kebudayaan materialisme yang mereka ciptakan, merendam sifat-sifat fitrah manusia dan akhirnya tokoh-tokoh kejahatan dianggap wira.

Falsafah sastera ingin membebaskan manusia daripada kebaikan yang hilang itu.

Kebenaran terletak pada menjadikan pengarang sebagai moralis dan karyanya menghantar pemikiran yang moralistik.

Rousseau, pemikir Perancis yang sering menyelar, menyatakan bahawa ada waktu-waktunya kebijaksanaan dan intelektualisme seseorang itu dijadikan senjata untuk mengwibawakan diri sendiri dan menciptakan doktrin-doktrin penguatkuasaan humanisme.

Penguasaan humanisme dimaksudkan ada tokoh pemimpin tidak memberi laluan kepada bijak pandai lainnya untuk berkuasa, ia lebih senang melantik sahabat yang kurang daya akal untuk dijadikan pembantunya; dengan itu mudah menjadikan kata-katanya sebagai undang-undang.

Pemikiran Rousseau ini telah diambil oleh penulis romantisisme seperti Hugo, Merimee dan Chateaubrind yang telah membanteras kekuasaan ala egosentrisme itu dalam karya mereka.

Tidak sahaja menolak pemimpin humanisme, juga golongan bertopeng dengan mengaku diri mereka sebagai moralis, pejuang korupsi dan agamawan zuhud.

Karya berfalsafah memiliki dasar dan akar persoalan, yang menghimpunkan sensibiliti dan pandangan hidup dengan wacananya yang serius.

Subjek pertentangan nilai, sifat keberadaan, pembentukan budaya dan membina nusa, bangsa dan agama adalah rangkaian yang berpusat kepada falsafah mencari kebenaran.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.