Anwar ucap takziah kepada keluarga Zulkefly

Zulkefly meninggal dunia pada usia 59 tahun di Hospital Serdang, Selangor. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Zulkefly meninggal dunia pada usia 59 tahun di Hospital Serdang, Selangor. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Naib Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Allahyarham yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan meninggal dunia pada usia 59 tahun di Hospital Serdang, Selangor.

Berita itu disahkan Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman dan memaklumkan Zulkefly mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pada dua hari lepas kerana menghidapi komplikasi pelbagai masalah kesihatan dan perlu ditidurkan.

Zulkefly memulakan karier politik bersama Pas dan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 1999 di DUN Lenggeng.

Allahyarham pernah memegang jawatan Pesuruhjaya Pas negeri dari 2007-2011. Setelah menyertai Amanah, Zulkefly bertanding di kerusi DUN Johol pada PRU14 dan Parlimen Jelebu pada PRU15, November tahun lepas.

Zulkefly dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan pada Julai 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14. - Bernama

Artikel Berkaitan: