FX Mammo kesan kanser payudara guna AI

Puvanesan (dua dari kiri) bersama Ka Wei (tengah) dan Milan (dua dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian perkongsian perisian pengesanan kanser payudara berasaskan AI, FX Mammo pada Jumaat.
Gambar kredit: Malay Mail
Puvanesan (dua dari kiri) bersama Ka Wei (tengah) dan Milan (dua dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian perkongsian perisian pengesanan kanser payudara berasaskan AI, FX Mammo pada Jumaat. Gambar kredit: Malay Mail
A
A
A

SHAH ALAM - Penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan, Ancom Truelife bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal dari Singapura, Wellesta Holdings memperkenalkan perisian pengesanan kanser payudara, FX Mammo, yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).

Perjanjian perkongsian itu ditandatangani antara Pengerusi Eksekutif Ancom Nylex Berhad, Datuk Siew Ka Wei; Pengerusi dan Pengarah Urusan Wellesta Holdings, Milan Paleja dan Ketua Pegawai Eksekutif Privasia Technology Berhad, Datuk Puvanesan Subenthiran.

Menurut Ka Wei, kerjasama berkenaan sejajar dengan objektif kerajaan Malaysia untuk mempromosikan rakyat yang sihat.

“Pengenalan FX Mammo menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan sistem penjagaan kesihatan lebih baik dan mudah diakses di Malaysia dengan memanfaatkan kuasa AI bagi memberi impak berkekalan untuk memerangi kanser payudara,” katanya ketika majlis menandatangani perjanjian berkenaan pada Jumaat.

Sementara itu Milan berkata, perkongsian tersebut bertujuan meningkatkan pengesanan awal kanser payudara sekali gus menambah baik tahap kesihatan dan kehidupan wanita di Malaysia.

"FX Mammo merupakan penyelesaian AI yang berupaya diagnosis kanser payudara dan merevolusikan cara pakar radiologi menganalisis keputusan mamogram.

"Selain itu ia turut membantu ahli radiologi untuk membuat keputusan lebih cepat dan tepat apabila mendiagnosis kanser berkenaan," jelasnya.

Ketua Perancangan, Operasi dan Projek Khas Privasia, Hasbullah Hassin berkata, pengesanan awal kanser merupakan langkah terbaik bagi menghasilkan rawatan ekoran penyakit itu menjadi antara punca utama kematian dalam kalangan wanita.

Artikel Berkaitan:

Justeru ujar beliau, penyelesaian AI yang disediakan berupaya menganalisis keputusan mamogram dalam tempoh dua hingga tiga minit berbanding proses konvensional, sekali gus meminimumkan keputusan positif dan negatif palsu dalam pengesanan kanser.

"Kanser payudara yang dikesan pada tahap satu mempunyai kadar kelangsungan hidup lebih daripada 90 peratus, manakala pada tahap empat hanya kira-kira 20 peratus ekoran tiada ubat yang tersedia pada masa ini.

"Di Malaysia, kadar saringan untuk kanser payudara hanya 3.6 peratus dan terdapat kira-kira 1.9 pakar radiologi bagi setiap 100,000 wanita," katanya.

Perisian FX Mammo telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Malaysia (MDA) pada 24 Februari lalu dan akan tersedia di institusi penjagaan kesihatan swasta dan awam melalui mesin mamogram.