[VIDEO] Kesihatan Rafizi makin pulih - Dr Zaliha

A
A
A

IPOH - Keadaan kesihatan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semakin pulih selepas menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika ditanya mengenai keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pandan itu.

"Alhamdulillah, saya pun sudah dapat berita kelmarin beliau semakin sihat dan insya-ALLAH, kita harap dalam masa terdekat akan kembali melaksanakan tugas. Doakan yang baik-baik," katanya ringkas kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah di sini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan KKM, Noor Aini Ahmad.

Sebelum ini, tular satu gambar tangkap layar memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan lawatan kebajikan ke salah pusat perubatan untuk melawat Rafizi yang dikatakan mengalami sakit jantung.

Rafizi
Rafizi

Dalam perkembangan lain, KKM sedang berusaha mempertingkatkan promosi latihan bagi program lanjutan dan bidang-bidang kepakaran kritikal.

Zaliha berkata, antara bidang yang kritikal termasuklah geriatrik memandangkan Malaysia sedang menuju ke negara menua.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau menjelaskan seramai 8,643 graduan dari pelbagai program pengajian di ILKKM terlibat dalam istiadat konvokesyen seluruh negara pada tahun ini.