Pertembungan tiga penjuru di PRK Jepak

Calon-calon yang akan bertanding dalam PRK bagi DUN Jepak (dari kiri) calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Chieng Lea Phing, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang bergambar di Pusat Penamaan Calon, Dewan Suarah Bintulu, pada Sabtu. - Foto Bernama

A
A
A

BINTULU - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Calon GPS, Iskandar Turkee, 54, akan dicabar calon PBK, Stevenson Joseph Sumbang, 42, dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, Chieng Lea Phing, 64, dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN itu, Datuk Talib Zulpilip, pada 15 September lepas.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey berkata, pencalonan Iskandar yang merupakan bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Sarawak diterima pada jam 9.03 pagi.

Pencalonan wakil PBK, Stevenson diterima pada jam 9.09 pagi, sementara pencalonan calon Aspirasi, Lea Phing diterima pada 9.12 pagi.

Berdasarkan daftar pemilih terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Jepak mempunyai 22,804 pengundi dengan 43 orang daripadanya terdiri dari pengundi awal.

Allahyarham Talib memenangi kerusi DUN Jepak dalam enam pilihan raya bermula 1996 dan yang terakhir pada 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan: