HSN 2023 tingkat kefahaman masyarakat terhadap statistik

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR Foto: ROSLI TALIB

A
A
A

Nor Azmie (kanan) dan Mohd Uzir (tengah) melawat pameran ketika majlis sambutan HSN 2023 di Stadium Sungai Besar, di sini pada Jumaat.
Nor Azmie (kanan) dan Mohd Uzir (tengah) melawat pameran ketika majlis sambutan HSN 2023 di Stadium Sungai Besar, di sini pada Jumaat.

SABAK BERNAM - Perkhidmatan data dan statistik yang dikumpulkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) amat penting dan diibaratkan seperti 'emas' kepada sesebuah negara.

Demikian dinyatakan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron yang mana kerajaan amat menghargai usaha dilaksanakan DOSM sebagai peneraju perkhidmatan statistik di negara ini.

"DOSM memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan dan perkhidmatan ini perlu diuruskan dengan baik supaya ‘emas’ yang kita ada ini dapat digunakan sebaik-baiknya untuk kepentingan negara," katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2023 di Stadium Sungai Besar, di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu tambah Nor Azmie, HSN merupakan program yang diadakan setiap tahun khusus untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman rakyat terhadap kepentingan statistik kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Nor Azmie (kiri) melawat salah satu gerai buah buahan tempatan pada HSN 2023 di Stadium Sungai Besar pada Jumaat.
Nor Azmie (kiri) melawat salah satu gerai buah buahan tempatan pada HSN 2023 di Stadium Sungai Besar pada Jumaat.

Malah, HSN katanya turut memberi ruang kepada masyarakat melihat keunikan dan kesenian statistik dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh DOSM.

Artikel Berkaitan:

“Pelaksanaan HSN selaras dengan saranan United Nations Statistical Commission (UNSC) supaya setiap negara menganjurkan hari statistik sama ada di peringkat negara atau peringkat serantau.

“United Nations General Assembly (UNGA) kali ke-64 telah mengisytiharkan Hari Statistik Sedunia disambut buat julung kalinya pada 20 Oktober 2010,” katanya lagi.

Pengisian HSN

Sambutan HSN 2023 bertemakan ‘Yuk Mampir’ diadakan selama tiga hari di beberapa lokasi antaranya di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Sabak Bernam; Kampung Parit 2 Sungai Haji Dorani dan Masjid Jamek Mahmudiah, Kampung Baharu.

Nor Azmie semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan HSN 2023 yang bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan statistik kepada negara.
Nor Azmie semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan HSN 2023 yang bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan statistik kepada negara.

Antara aktiviti dilaksanakan dalam sambutan itu ialah pertandingan debat statistik antara institusi pengajian tinggi, perlawanan bola sepak persahabatan, larian D' bendang, sukan rakyat di sawah serta pertandingan suara emas dan persembahan kebudayaan.

Selain itu, beberapa acara turut diadakan di pentas utama Stadium Sungai Besar antaranya jualan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pameran agensi-agensi kerajaan, kuiz statistik, mini zoo, soopa-doopa dan cabutan bertuah.

Kepentingan statistik

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika berucap dalam majlis yang sama berkata, pengisytiharan HSN adalah bertujuan meningkatkan kefahaman semua lapisan masyarakat tentang kepentingan statistik dalam mengukur kemajuan, menangani cabaran dan membantu penggubalan dasar.

Nor Azmie (duduk, tengah) dan Mohd Uzir (duduk, tiga dari kiri) bergambar bersama sebahagian daripada tetamu yang hadir sempena sambutan HSN 2023.
Nor Azmie (duduk, tengah) dan Mohd Uzir (duduk, tiga dari kiri) bergambar bersama sebahagian daripada tetamu yang hadir sempena sambutan HSN 2023.

Selain itu, katanya, HSN juga bertujuan untuk mengiktiraf profesionalisme serta peranan ahli-ahli statistik di negara ini selaras dengan tema ‘statistik nadi kehidupan’.

“Bermula daripada maklumat individu, aktiviti ekonomi, naratif sosial, alam sekitar dan sebagainya, statistik penting dalam perancangan dan penggubalan dasar kerajaan.

“Kepentingannya sama seperti denyut nadi kepada kita. Begitu jugalah pentingnya statistik kepada negara," jelas beliau yang mana HSN itu buat pertama kalinya diadakan di daerah Sabak Bernam.

Jelas Mohd Uzir, berdasarkan statistik rasmi DOSM, Sabak Bernam mempunyai bilangan penduduk seramai 109,001 penduduk dengan 52.1 peratus lelaki dan 47.8 peratus perempuan.

Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 24.5 peratus penduduk berumur 14 tahun dan ke bawah manakala 69.1 peratus (15 hingga 64 tahun) manakala 6.4 peratus berumur 65 tahun dan ke atas.

No Image Caption

"Penduduk bekerja di Sabak Bernam seramai 64,000 orang dan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 71.2 peratus.

"Aktiviti ekonomi utama di Sabak Bernam ini tertumpu kepada sektor pertanian dan perikanan," jelas beliau.

Sehubungan itu katanya, kerajaan Selangor turut mahu menjadikan daerah Sabak Bernam sebagai peneraju asas ekonomi negeri melalui pelancaran Pelan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) pada 6 Jun lalu.

"Pelan ini (SABDA) merupakan inisiatif dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) melibatkan dua projek perikanan berskala besar akan dilaksanakan dan dijangka dapat mewujudkan lebih 7,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun akan datang," ujarnya.