Pekebun kecil getah dijangka raih tambahan pendapatan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pekebun kecil getah dijangka memperoleh pendapatan tambahan di antara RM300 ke RM350 sebulan melalui inisiatif kenaikan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata, pendapatan tambahan itu adalah bagi ladang yang berkeluasan dua hektar.

"Pendapatan tambahan bagaimanapun bergantung kepada kos pengeluaran. Setiap kilogram getah yang dihasilkan ada kos pengeluarannya, kita mahu pastikan mereka memperoleh pendapatan lebih daripada kos melalui inisiatif IPG.

"Dengan keluasan tanah dua hektar, purata pendapatan tahunan mereka dianggarkan kira-kira RM3,000," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Hari Padanan Pengkomersialan 2023 anjuran Majlis Getah Malaysian (MRC) hari ni.

Katanya, dengan IPG, purata peningkatan jumlah pendapatan mereka boleh meningkat daripada RM1,900 kepada RM2,000 sehingga RM2,500 sebulan bagi kategori penoreh dan pemilik.

Zairossani berkata, kenaikan paras harga pengaktifan IPG terbaharu ini merupakan hasil semakan kali kelima sejak 2015 dan ia memberi manfaat kepada lebih 270,000 pekebun kecil getah yang layak.

Beliau berkata, pihak berwajib dan kerajaan akan membuat kajian semula dari semasa ke semasa bagi memastikan industri getah kekal kukuh, di samping menambah produktiviti getah negara.

Sementara itu, Zairossani berkata, LGM telah membangunkan aplikasi RRIMniaga bagi kegunaan peniaga getah berlesen dengan agensi itu untuk melaksanakan urus niaga komoditi secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Pada peringkat awal IPG, kita guna proses tuntutan insentif secara manual, pekebun kecil getah perlu mengisi borang. Dengan sistem RRIMniaga ini, proses dibuat secara automatik, penjualan getah direkod dalam sistem dan IPG dibayar terus kepada pekebun kecil pada hujung bulan bagi mengelakkan isu kelewatan menerima bayaran,” katanya. - Bernama