India luluskan eksport 170,000 tan beras putih ke Malaysia

Kerajaan India pada Rabu telah meluluskan eksport 170,000 metrik tan beras putih bukan Basmati ke Malaysia sebagai tanda persahabatan istimewa antara kedua-dua negara. - Gambar hiasan
Kerajaan India pada Rabu telah meluluskan eksport 170,000 metrik tan beras putih bukan Basmati ke Malaysia sebagai tanda persahabatan istimewa antara kedua-dua negara. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan India pada Rabu telah meluluskan eksport 170,000 metrik tan beras putih bukan Basmati ke Malaysia sebagai tanda persahabatan istimewa antara kedua-dua negara.

"Keputusan oleh Kerajaan India mencerminkan hubungan rapat antara India dan Malaysia serta selaras dengan dasar berterusan India untuk menyokong usaha kerajaan negara-negara sahabat dalam memelihara keterjaminan makanan domestik," menurut Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.

Keputusan untuk membenarkan peruntukan khas beras putih ke Malaysia telah dimaklumkan oleh Menteri Luar India, Dr S Jaishankar kepada Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melalui panggilan telefon pada hari yang sama, tambahnya.

Zambry mengucapkan penghargaannya kepada Kerajaan India atas sokongan yang diberikan kepada rakyat Malaysia dalam situasi bekalan semasa.

Makluman yang diperlukan untuk kuota eksport khas beras putih bukan Basmati untuk Malaysia telah dikeluarkan oleh Pengarah Direktorat Perdagangan Luar India pada 18 Okt, tambahnya.

Sejak September, pengguna di Malaysia menyaksikan kenaikan ketara harga beras putih import ekoran masalah bekalan beras yang dihadapi dunia kerana perubahan iklim selain sekatan eksport yang dikenakan oleh negara pengeksport utama padi termasuk India.

Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan proaktif untuk memastikan bekalan beras mencukupi dan harga-harga kekal berpatutan.

Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dilaporkan berkata bahawa perbincangan telah diadakan pada akhir September dengan wakil-wakil Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengenai sekatan India terhadap eksport beras putih.

Beliau telah menyatakan harapan bahawa pertemuan antara kerajaan (G2G) itu akan membantu menangani isu-isu bekalan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: