PRK Jepak: Bekas Pengarah AADK calon GPS

Abang Johari (tiga dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada calon GPS, Iskandar Turkee (tiga dari kanan) pada Majlis Pengumuman Calon GPS sempena PRK bagi DUN N.67 Jepak pada Rabu. - Foto: Bernama
Abang Johari (tiga dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada calon GPS, Iskandar Turkee (tiga dari kanan) pada Majlis Pengumuman Calon GPS sempena PRK bagi DUN N.67 Jepak pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

BINTULU - Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Rabu mengumumkan bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Iskandar Turkee, 54, sebagai bakal calon mereka untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini.

Iskandar Turkee
Iskandar Turkee

Beliau berkata, Iskandar dipilih gabungan itu, berdasarkan kemampuan serta pengalamannya yang luas dalam kegiatan sosial masyarakat.

"Kesungguhan beliau juga boleh dilihat, apabila sanggup meninggalkan jawatannya (sebagai pengarah AADK) untuk berkhidmat untuk rakyat di Jepak.

"Walaupun ini hanya pilihan raya kecil, tapi bagi saya keputusan PRK ini besar (signifikan), untuk membuktikan sokongan rakyat kepada GPS untuk terus menerajui Sarawak,” katanya.

Sebelum ini Parti Bumi Kenyalang (PBK), sebuah parti pembangkang tempatan menamakan bekas anggota polis Stevenson Sumbang, sebagai calon mereka untuk PRK yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip dari GPS, pada 15 September lepas.

Sebuah lagi parti pembangkang tempatan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) pula mengumumkan seorang ahli perniagaan Chieng Lea Ping, 64, sebagai calon mereka.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Talib menyandang kerusi DUN Jepak selama enam penggal sejak 1996.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon untuk PRK itu, dengan 31 Oktober untuk pengundian awal dan 4 November sebagai hari pengundian.- Bernama