Hari mengundi PRK DUN Jepak 4 November
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak ditetapkan pada 4 November depan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Talib Zulpilip, 15 September lalu.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 21 Oktober manakala 31 Oktober adalah sebagai undi awal.
"Tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam, 3 November," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRK DUN Jepak di sini pada Isnin.
Menurutnya, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka.
"Tarikh tutup permohonan undi pos bagi kategori 1A adalah 18 Oktober, 4 Oktober (1B) dan 9 Oktober (1C)," ujar beliau.
Azmi berkata, daftar pemilih pilihan raya (DPPR) yang akan digunakan adalah daftar pemilih terkini sehingga Jun yang dikemaskini sehingga 15 September.
"DPPR ini mengandungi seramai 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 orang pengundi biasa dan 43 orang anggota polis," katanya.
Tambah beliau, perjalanan PRK Jepak itu melibatkan kos sebanyak RM2 juta.
"SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh tiga penolong.
"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding," katanya.
Jelas beliau, semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dibuat melalui https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
"Semakan maklumat pengundian akan dibuka pada 16 Oktober," katanya lagi.
Terdahulu Talib,72, yang juga bekas Menteri Ombudsman dan Integriti Sarawak itu dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) Pusat Rawatan Pakar Normah pada Khamis akibat komplikasi buah pinggang dan beberapa sakit lain.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Dr Zaliha Abdullah dan empat anak, termasuk dua anak tiri.
Beliau merupakan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan bertanding atas tiket Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke 11.
Talib juga telah menyandang jawatan sebagai wakil rakyat di DUN Jepak selama lima penggal dan memenangi PRN ke-12 atas Gabungan Parti Sarawak dan memperoleh majoriti 6,277 undi.
Sementara itu, Azmi menyeru kepada bakal calon agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan pejabat pegawai pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.
"Selain itu, bakal calon juga adalah digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.
"Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar," katanya.