Usah ‘buat-buat’ lupa bayar makanan dipesan

JANGAN lari daripada membuat bayaran terhadap makanan yang dipesan dan dimakan. -Gambar hiasan
JANGAN lari daripada membuat bayaran terhadap makanan yang dipesan dan dimakan. -Gambar hiasan
A
A
A

KEPADA mereka yang sudah kenyang menjamu selera di kedai makan, jangan ‘buat-buat’ tidak tahu atau berpura-pura pula untuk membayarnya. Lebih-lebih lagi jika membuat pesanan dalam kuantiti yang banyak.

Sudahlah habis licin semua hidangan tersebut diratah, kemudian tanpa segan silu angkat kaki berlalu begitu sahaja.

Jika terlupa, itu cerita lain. Namun, andai sengaja berbuat demikian, segera bertaubatlah dan bayar semula hidangan yang kita pesan dan makan sebelum ini.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, haram dan berdosa besar hukumnya apabila kita lari daripada membayar tempahan tanpa persetujuan pihak penerima tempahan.

Ia disebabkan kita melanggar janji yang telah disepakati pada awal akad.

“Pelanggan datang ke restoran lalu membuat pesanan makanan yang diingini. Seterusnya tukang masak menyediakannya dan dihidangkan kepada pelanggan tadi.

“Di sini berlakunya janji tukang masak untuk menyediakan makanan dan janji pelanggan untuk membayarnya sesudah siap,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Al-Fatwa Siri ke-803: Hukum Lari Daripada Membayar Tempahan.

Ketahuilah bahawa janji perlu disempurnakan dengan sebaiknya.

Artikel Berkaitan:

JANGAN 'buat-buat' lupa membayar makanan yang sudah dipesan, sebaliknya berlaku jujurlah. -Gambar hiasan
JANGAN 'buat-buat' lupa membayar makanan yang sudah dipesan, sebaliknya berlaku jujurlah. -Gambar hiasan

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (Surah al-Ma’idah, ayat 1)

Dalam satu lagi ayat lain, ALLAH SWT berfirman: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan ALLAH dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” (Surah al-Isra’, ayat 34)

Berbalik kepada situasi pelanggan lari daripada membuat bayaran, pejabat mufti itu menjelaskan, pihak kedai berhak untuk menuntut ganti rugi daripada pelanggan atas kerugian tersebut.

“Diharuskan pihak kedai untuk menuntut ganti rugi daripada pelanggan sekadar kerugian yang menimpa si empunya premis.

“Bagaimanapun, tuntutan berkenaan tidaklah melebihi kerugian yang ditanggung. Di sini perlunya ada toleransi antara kedua belah pihak agar kata sepakat dapat dicapai,” ujarnya.

Ingatlah, apa yang kita makan itu akan menjadi darah daging kita. Jangan dibuat main soal makanan.