Pindah dari utara ke selatan Gaza hanya sia-sia

Penduduk Palestin berlindung di sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Khan Yunis, selatan Genting Gaza.
Penduduk Palestin berlindung di sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Khan Yunis, selatan Genting Gaza.
A
A
A

GENTING GAZA - Sebahagian penduduk Gaza yang tergesa-gesa meninggalkan utara wilayah terkepung itu dalam tempoh 24 jam pada akhir minggu lalu kerana mematuhi arahan 'gila' Israel dilaporkan kembali semula ke kediaman mereka.

Tindakan itu terpaksa diambil walaupun ia mungkin mengancam nyawa mereka berikutan hujan peluru dan keadaan yang lebih daif di bahagian selatan dan kawasan tengah Genting Gaza setelah konflik Hamas-Israel sudah berlarutan selama lebih seminggu.

Maha Hosseini yang berpindah ke Zawayda di tengah Gaza memberitahu tiga keluarga yang berkongsi tinggal sebumbung telah pulang semula ke Bandar Gaza.

“Saya terpaksa bersesak dengan 70 yang lain dalam sebuah rumah. Kami mempunyai bekalan air yang terhad dan bekalan kuasa elektrik hanya untuk tempoh sejam pada setiap hari,” ujarnya.

Wanita itu menjelaskan kebimbangan paling utama mereka adalah apabila kehabisan bekalan air.

“Kami terpaksa memberi seteguk air bagi menghilangkan haus kanak-kanak dan berjimat cermat untuk memastikan ia mencukupi,” tambahnya lagi.

Amaran tentang operasi yang bakal diperhebatkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada Jumaat lalu telah menyebabkan gelombang perpindahan penduduk Palestin dari utara Gaza.

Tetapi, arahan tidak masuk akal itu hanya menyebabkan kesesakan di selatan setelah komuniti di kawasan tersebut menawarkan bantuan dan membuka pintu rumah masing-masing untuk memberi perlindungan kepada ribuan penduduk dari utara dan tengah Gaza.

Artikel Berkaitan:

Risiko 'malapetaka' kemanusiaan“Isu yang paling mendesak ketika ini adalah berkaitan kekurangan makanan kerana penduduk gagal mendapatkan bekalan susulan permintaan yang sangat tinggi,” kata Pegawai Media dan Komunikasi untuk Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Hisham Mhanna di Gaza.

Beliau menjelaskan akses untuk bekalan bahan api di beberapa lokasi juga semakin sukar diperoleh.

Agensi bantuan antarabangsa memberi amaran pergerakan berskala besar seperti itu berisiko mencetuskan 'malapetaka' kemanusiaan lebih dahsyat di Genting Gaza.
Agensi bantuan antarabangsa memberi amaran pergerakan berskala besar seperti itu berisiko mencetuskan 'malapetaka' kemanusiaan lebih dahsyat di Genting Gaza.

“Ada penduduk tidak dapat berpindah. Saya melihat sendiri bagaimana keluarga termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak sanggup berjalan kaki sejauh puluhan ribu kilometer demi untuk sampai ke kawasan selamat seperti diarahkan rejim Zionis,” jelas beliau.

Menurutnya, kebanyakan keluarga kini hanya berlindung di tepi jalan tanpa bumbung, tiada akses kepada bekalan air, tilam dan selimut serta kit kebersihan.

“Mereka tidak tahu nasib yang bakal menimpa atau apa yang perlu dilakukan jika situasi menjadi semakin teruk,” katanya.

Sebelum ini, agensi bantuan antarabangsa telah memberi amaran pergerakan berskala besar seperti itu berisiko mencetuskan 'malapetaka' kemanusiaan lebih dahsyat di Genting Gaza.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Amal memberitahu komuniti di Gaza semakin terdesak selain kelelahan emosi dan fizikal.

“Kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke Bandar Gaza kerana keadaan di Deir al-Balah jelas tidak sesuai untuk didiami,” katanya sambil menjelaskan kempen pengeboman di kawasan selatan juga belum reda.

Sebahagian penduduk di Bandar Gaza bagaimanapun memilih untuk kekal di kediaman masing-masing kerana mereka tiada tempat untuk dituju malah ada yang terkorban ketika cuba berpindah ke selatan.

Kempen pengeboman masih sengit di kawasan selatan wilayah Gaza.
Kempen pengeboman masih sengit di kawasan selatan wilayah Gaza.

“Tiada siapa mahu meninggalkan rumah mereka. Penduduk Gaza terpaksa berbuat demikian kerana takut dengan ugutan rejim Zionis dan mereka sentiasa berharap peperangan itu akan berakhir,” ujarnya.

Sementara itu, data diperoleh IDF pada Isnin menganggarkan kira-kira 600,000 penduduk Palestin di utara Gaza akur dengan arahan berpindah segera manakala seramai 100,000 memilih untuk kekal di kediaman masing-masing.

Jurucakapnya, Jonathan Conricus menyifatkan kumpulan penduduk yang tidak membantah itu kononnya membuat keputusan bijak kerana memikirkan nyawa mereka lebih berharga dan enggan menjadi 'perisai manusia' kepada pejuang Hamas. - Agensi