Kerajaan perlu baiki, tambah baik sistem bayaran balik GST

Hafidzi (kanan) ketika dalam Wacana Sinar Siri 417 bertajuk Antara Harimau Asia & Nasib Rakyat menerusi siaran langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN
Hafidzi (kanan) ketika dalam Wacana Sinar Siri 417 bertajuk Antara Harimau Asia & Nasib Rakyat menerusi siaran langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan mekanisme sistem pulang balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dapat diperbaiki serta ditambah baik bagi membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memperoleh pulangan mengikut jangkaan yang ditetapkan.

Pengarah Bowergroup Asia, Hafidzi Razali berkata, langkah itu dilihat lebih penting supaya masalah dari segi aliran tunai untuk golongan PMKS dapat diatasi berbanding memperkenalkan GST pada kadar lebih rendah kepada rakyat.

Ujar beliau, kerajaan bagaimanapun dijangka akan memperkenalkan semula GST dalam tempoh setahun atau kurang dari itu.

“Berdasarkan pengalaman lepas, kebanyakan daripada syarikat-syarikat PMKS tidak mendapat ‘refund’ (pulang balik) dalam waktu yang mereka dijangkakan, akibatnya mereka mengalami masalah aliran tunai apabila wang yang sepatutnya diterima tetapi tidak diterima pada waktu ditetapkan.

“Kemungkinan besar, kementerian sedang melihat berkenaan mekanisme yang paling sesuai untuk beberapa lompongan ini diperbaiki dan saya jangkakan GST mungkin diperkenalkan semula dalam setahun atau kurang (dari itu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Siri 417 bertajuk 'Antara Harimau Asia & Nasib Rakyat' menerusi siaran langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Hafidzi - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN
Hafidzi - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Azlan Awang dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut Hafidzi, melihat dari lensa profesional, ia merupakan satu peluang yang baik jika kerajaan melaksanakan GST dalam masa terdekat.

“Ia kerana kita sudah pun selesai dengan pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan beberapa pilihan raya kecil (PRK).

“Kalau mahu membuat satu keputusan yang sukar, ini merupakan peluang terbaik sebelum ada apa-apa lagi respons yang negatif daripada pembangkang terutamanya dalam memanipulasi pandangan rakyat.

“Jadi seharusnya kerajaan boleh memperkenalkan GST pada kadar yang lebih rendah untuk membiasakan sistem yang telah kita lakukan sebelum ini tetapi lebih penting adalah untuk memastikan sistem pulang balik dapat diperbaiki,” jelasnya.