Malaysia sentiasa teguh menyokong hak Palestin - Pakar

Masyarakat dunia menyertai perhimpunan bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin. - Foto EPA
Masyarakat dunia menyertai perhimpunan bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin. - Foto EPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun kebanyakan negara-negara di barat tidak menyokong Hamas, Malaysia kekal dengan pendirian yang terbuka terhadap kumpulan itu berasaskan kepentingan melindungi rakyat Palestin dan hak mereka untuk menubuhkan negara sendiri berpandukan sempadan sebelum perang 1967.

Perkara itu disuarakan Pakar Geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan sambil menyambut baik perbualan telefon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, pada Isnin.

Azmi berkata, komunikasi itu tepat pada masanya dan memberikan isyarat penting, memandangkan kemungkinan serangan darat oleh Israel di Gaza dalam masa terdekat.

"Sokongan Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin pada masa genting ini menjadi tumpuan, terutama, apabila Datuk Seri Anwar mengambil pendirian untuk menghubungi Ismail Haniyeh dari Hamas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Azmi berkata, Perdana Menteri menyedari perlunya untuk melibatkan kedua-dua Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin dalam sebarang perbincangan untuk mencapai penyelesaian damai yang berkekalan.

"Kedua-dua entiti itu penting, sama ada dalam usaha mencapai penyelesaian satu negara atau dua negara. Kami menganggap isu Palestin ini sangat penting dan simpati kami kepada rakyat Palestin,” katanya.

Azmi juga percaya Perdana Menteri akan membincangkan isu Palestin secara lebih mendalam semasa beliau ke Riyadh untuk menghadiri Persidangan ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmi berkata, membuka pintu lintasan Rafah akan membolehkan bantuan kemanusiaan penting masuk ke selatan Gaza selatan dan pada masa sama boleh menyebabkan aliran masuk pelarian ke Mesir.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berkata, Mesir perlu mengawal siapa yang masuk untuk mengelak kemungkinan penularan isu yang mempunyai kaitan dengan konflik itu ke wilayah mereka. - Bernama