Jangan sisihkan pesakit kanser
Beri mereka peluang untuk jalani kehidupan dan bina kerjaya seperti orang lain
Ketika itu, dia sedang bertarung dengan penyakit kanser dan menjadi salah satu punca kenapa banyak permohonan kerja beliau ditolak setiap kali bakal majikan tahu mengenai penyakit kroniknya itu.
Namun, keyakinan dan kepercayaan yang ditunjukkan oleh Ketua Pegawai Eksekuif Mamamuda, Izzlin Azhar yang memberi peluang untuk beliau membina kerjaya bersama syarikat itu cukup mengharukan hati Erin.
Malah beliau masih ingat kata-kata Izzlin ketika menemuduganya kali pertama yang banyak membangkitkan semangat Erin sendiri untuk meneruskan kehidupan.
Kali pertama bertemu dengan Nor Ezreen Yaacob atau Erin pada tahun 2017, Izzlin Azhar atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mamamuda mendapati wajah Erin kelihatan pucat dan sedikit tidak bermaya.
“Walaupun saya tahu keadaan kesihatan Erin, bagi Kak Lin (Izzlin), awak sihat seperti orang lain. Kak Lin amat berbesar hati beri peluang kepada awak, tidak kisahlah awak kurang sihat, baru lepas menjalani pembedahan, kurang berpengalaman dan tidak biasa dengan pekerjaan yang bakal disandang ini.
“Jika semua majikan tidak mahu mengambil orang seperti Erin, ke manakah lagi insan-insan senasib dengan Erin mencari sesuap nasi? Ini pendirian Kak Lin, saya tidak mahu mendiskriminasikan sesiapa pun,” jelas Erin yang masih mengingati dan menulangi setiap patah perkataan yang diucapkan Izzlin semasa sesi temuduga kerja yang dihadirinya.
“Saya seorang yang workaholic, saya tidak boleh duduk diam sahaja tanpa melakukan sebarang pekerjaan. Tambahan lagi sesi rawatan saya bukan setiap hari, jadi ada harinya saya sangat bosan dengan rutin harian yang terlalu banyak berehat tanpa melakukan sebarang kerja.
“Saya mula menyedari tahap kesihatan saya tidak berada pada tahap yang memuaskan pada 2016 dan kebetulan saya mengunjungi sebuah hospital swasta yang sedang membuat program pemeriksaan kesihatan sempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
“Saya membuat pemeriksaan kesihatan di situ dan keputusan hasil pemeriksaan tersebut mendapati saya mempunyai sel kanser sebesar lima sentimeter di payudara sebelah kanan. Ia menyebabkan perasaan saya bercampur baur dengan rasa terkejut, sedih, cemas dan buntu,” katanya.
Namun doktor dan kakitangan hospital tersebut memberi pelbagai nasihat kepada Erin untuk segera membuat pemeriksaan lanjut bagi mengetahui tahap penyakit kanser payudaranya.
Setahun selepas itu, Erin yang telah menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanannya.
Bagi Izzlin, peluang bekerja yang berikan kepada Erin pada tahun 2017 ken pada masanya keranaketika itu beliau fokus dengan perniagaan butik Bakawali, kilang jahitan pukal dan beberapa cabang perniagaan lagi.
“Erin seorang pekerja yang sangat berdedikasi, teliti dalam melaksanakan kerja-kerjanya dan tidak mengambil kesempatan atas alasan sakit. Erin sangat bertanggungjawab dengan setiap kerja yang diberikan.
“Peringkat awal bekerja, Erin memerlukan lebih masa untuk berehat dan mahir dalam selok belok kerjanya. Alhamdulillah, kini hampir tujuh tahun bekerja dengan saya, Erin membuktikan sakit kanser bukanlah penamat segala-galanya,” ujar Izzlin.