Harap telur ayam tak hilang lagi!

Kerajaan akan mengapungkan harga ayam dan telur selepas mendapati bekalan kedua-dua bahan berkenaan mula stabil dan harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling kawalan. - Gambar hiasan
Kerajaan akan mengapungkan harga ayam dan telur selepas mendapati bekalan kedua-dua bahan berkenaan mula stabil dan harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling kawalan. - Gambar hiasan
A
A
A

TELUR ayam antara makanan rakyat yang mendapat tumpuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu.

Dalam pembentangan itu, Anwar memaklumkan kerajaan akan mengapungkan harga ayam dan telur selepas mendapati bekalan kedua-dua bahan berkenaan mula stabil dan harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling kawalan.

Merak Jalanan termenung seketika semasa mendengar pembentangan itu, maklumlah telur ayam pernah menjadi isu selepas hilang di pasaran.

Ketika itu, peniaga merungut kesukaran mendapatkan stok telur apabila bekalan yang diterima daripada pemborong jauh berkurangan daripada biasa.

Pengguna juga dipersalahkan apabila didakwa membuat pembelian panik menyebabkan bekalan telur tidak mencukupi.

Keadaan itu memaksa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengimport telur ayam dari luar negara.

Langkah membawa telur ayam import dari India itu mendatangkan hasil apabila rak-rak di kedai dan pasar raya mula dipenuhi dengan telur berkenaan sekali gus menampung keperluan pengguna.

Selepas harga telur kini diapungkan, Merak Jalanan berharap isu kekurangan telur ini tidak lagi berulang. Bukan apa, risau ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menyorok bekalan telur ayam semata-mata mahu harganya naik.

Artikel Berkaitan:

Di sini, pengguna perlu memainkan peranan menyeimbangkan permintaan dan penawaran agar harga telur yang diapungkan berada di tahap munasabah.

Kerajaan melalui semua agensi berkaitan juga perlu berterusan memantau bekalan telur dan memastikan ia sentiasa mencukupi di pasaran.

Tak guna apung harga telur ayam kalau ia hilang di pasaran sekali lagi.