Lelaki pro-Israel bunuh kanak-kanak Islam

Rumah sewa terletak di Plainfield menjadi lokasi pembunuhan kejam Wdea Al-Fayoume. - Agensi. Gambar kecil dari kiri: Suspek, Joseph M.Czuba dan Mangsa, Wdea Al-Fayoume.
Rumah sewa terletak di Plainfield menjadi lokasi pembunuhan kejam Wdea Al-Fayoume. - Agensi. Gambar kecil dari kiri: Suspek, Joseph M.Czuba dan Mangsa, Wdea Al-Fayoume.
A
A
A

CHICAGO - Pembunuhan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dipercayai perbuatan jenayah kebencian agama membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 71 tahun pada Ahad, lapor AP.

Polis mendakwa suspek dari IIIinois menyasarkan mangsa kerana kepercayaan terhadap agama Islam dan sebagai tindak balas kepada perang antara Hamas-Israel sejak Sabtu lalu.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, polis di bandar Amerika Syarikat (AS) dan pihak berkuasa persekutuan berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap keganasan disebabkan sentimen antisemitik atau Islamofobia.

Pegawai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) melaporkan terdapat peningkatan retorik ancaman dan kebencian agama antara Yahudi dan Islam.

Menurut Pejabat Sherif Will Country, ketika kejadian pegawai menemui seorang wanita dan budak lelaki pada pagi Sabtu di sebuah rumah di kawasan Perbandaran Plainfield yang terletak kira-kira 65 kilometer dari barat daya Chicago.

Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia di sebuah hospital manakala wanita bersamanya mengalami kecederaan parah akibat beberapa tikaman namun dia dijangka selamat.

Hasil bedah siasat terhadap kanak-kanak itu menunjukkan dia ditikam berpuluh-puluh kali.

"Detektif dapat mengenal pasti kedua-dua mangsa dalam serangan kejam itu dan mereka menjadi sasaran suspek kerana beragama Islam dan konflik di Timur Tengah iaitu perang Hamas-Israel," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut pejabat sheriff Will County, wanita itu telah menghubungi 911 bagi melaporkan bahawa tuan rumahnya (suspek) telah menyerangnya dengan pisau, sambil menambah dia kemudian berlari ke bilik mandi dan cuba melawannya.

Pihak berkuasa berkata, suspek ditemui pada Sabtu di luar rumah dengan luka di dahinya.

POLIS TIDAK DEDAH NAMA MANGSA

Menurut pejabat Sherif, suspek dikenali sebagai Joseph M.Czuba dari Plainfied telah didakwa dengan pembunuhan peringkat pertama, dua pertuduhan jenayah kebencian dan penggunaan senjata tajam.

Suspek ditahan sehingga Ahad dan sedang menunggu perintah mahkamah.

Sementara itu, bapa saudara budak lelaki tersebut, Yousef Hannon bercakap semasa sidang akhbar yang dihoskan Majlis Hubungan Amerika-Islam bahagian Chicago (CAIR) berkata, kanak-kanak itu dikenali sebagai Wdea Al-Fayoume yang berketurunan Palestin-AS manakala wanita yang cedera itu adalah ibunya.

"Kami bukan haiwan, kami adalah manusia. Kami mahu orang lain melihat kami sebagai manusia dan berurusan dengan kami sebagai manusia," kata Yousef, seorang warga AS yang berhijrah ke AS pada tahun 199 untuk bekerja.

Sementara itu, Pertubuhan Kebebasan Awam Muslim mengelar jenayah itu sebagai 'mimpi ngeri paling buruk'.

Kumpulan itu yang bertukar mesej teks dalam kalangan keluarga mereka menunjukkan penyerang itu melemparkan kata-kata kesat yang menghina umat Islam.

Menurut siaran akhbar Ahad daripada Gabenor Demokrat Illinois, JB Pritzker menyatakan bahawa polis Negeri IIIinois telah berkomunikasi dengan penguatkuasaan undang-undang persekutuan dan menghubungi pemimpin agama bagi menawarkan sokongan.

"Mengambil nyawa seorang kanak-kanak berusia enam tahun atas nama ketaksuban adalah sesuatu yang jahat dan tidak boleh dimaafkan," kata Pritzker.

Dalam perkembangan sama, Presiden AS, Joe Biden mengutuk serangan terhadap budak lelaki Islam itu sebagai ' tindakan kebencian yang ngeri'.

"Tindakan kebencian yang mengerikan ini tidak mempunyai tempat di Amerika, dan menentang nilai-nilai murni kita," tambah Biden.

Beliau turut menyeru rakyat Amerika untuk bersatu dan menolak Islamofobia serta semua bentuk ketaksuban dan kebencian. - Agensi