Strok haba: Dua penuntut Pulada dirawat di ICU stabil

Tian Soon
Tian Soon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua penuntut kursus tempur pegawai muda di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pengesahan tersebut dibuat oleh Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berhubung perkembangan terkini kedua-dua penuntut berkenaan yang dimasukkan ke ICU kerana dipercayai mengalami strok haba.

"Setakat ini keadaan kedua-dua mereka (penuntut) ini dilaporkan stabil.

"Begitu juga keadaannya dengan tujuh lagi penuntut yang kini menerima rawatan di Hospital Besar, Kota Tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Jumaat, seramai 10 penuntut kursus tempur pegawai muda mengalami gejala strok haba termasuk pengsan ketika sedang menjalani latihan di lapang sasar kem berkenaan.

Salah seorang daripadanya, Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, pada Sabtu.

Allahyarham dilaporkan pitam dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan Jalan Laju Kursus Tempur Pegawai Muda Tentera Darat Siri 3/2023 di kem berkenaan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Tasik Puteri, pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tian Soon menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dengan keadaan cuaca ketika ini yang agak panas dan berdebu

"Sekarang ini cuaca agak panas, ada jerebu pula, jadi orang ramai dinasihati kurangkan lah aktiviti-aktiviti di luar di kawasan terbuka.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar minum banyak air, kerap mandi bagi menyejukkan badan," katanya.