Agong, Raja Permaisuri berangkat pulang

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah melambai tangan sebelum berangkat pulang dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas di sini hari ini setelah membuat lawatan rasmi tiga hari ke Pulau Pinang. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah melambai tangan sebelum berangkat pulang dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas di sini hari ini setelah membuat lawatan rasmi tiga hari ke Pulau Pinang. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pulang ke Kuantan, Pahang hari ini selepas melakukan lawatan tiga hari ke negeri ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas di sini pada jam 11.45 pagi disambut Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan isteri, Tan Lean Kee serta pegawai kanan pentadbiran negeri.

Baginda berdua turut disambut peniaga durian Mohd Rafie Yaakob, 37, yang menyerahkan cenderahati kepada Raja Permaisuri Agong berikutan Tunku Azizah tidak berkesempatan bertemu dengannya kerana jadual yang padat.

Mohd Rafie adalah peniaga durian tular di media sosial kerana memanggil Tunku Azizah dengan panggilan 'kakak' ketika baginda membeli durian di gerainya di Gurney Drive.

Ini adalah lawatan sulung Al-Sultan Abdullah ke Pulau Pinang sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa gembira dan puas hati sepanjang lawatan tiga hari di Pulau Pinang selain baginda turut menyatakan hasrat untuk datang semula ke negeri ini.

Al-Sultan Abdullah berkenan bersalaman dengan anggota-anggota polis pengiring sepanjang lawatan baginda ke Pulau Pinang. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan bersalaman dengan anggota-anggota polis pengiring sepanjang lawatan baginda ke Pulau Pinang. - Foto Bernama

"Tuanku 'enjoy' dengan suasana di sini terutama berada di Shangri-la Rasa Sayang Resort, Batu Ferringhi. Sebelum ini Tuanku menerima menghadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk menyatakan beliau tidak dapat bersama sepanjang lawatan Tuanku ke Pulau Pinang kerana mengadakan lawatan rasmi ke Tokyo, Jepun.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun beliau sudah menyenarai pendek beberapa tempat menarik termasuk tempat makan menarik. Beliau juga ada sebut berkenaan Penang Digital Library, namun Tuanku tidak sempat pergi kerana jadual yang padat.

"Tuanku juga bertitah baginda bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa Pulau Pinang adalah tempat untuk menikmati makanan," katanya.

Ahmad Fadil berkata, lawatan ke Pulau Pinang boleh dikatakan sebagai lawatan khas Seri Paduka kerana ia dilakukan di penghujung tahun setelah lawatan baginda ke luar negara.

"Ini adalah lawatan keempat dalam rangka lawatan Tuanku ke negeri-negeri di Malaysia selepas Sabah, Sarawak dan Melaka. Walaupun lawatan ke Pulau Pinang berada di penghujung tahun, lawatan ini mencerminkan pertalian yang erat antara Tuanku selaku Yang di-Pertuan Agong dan negeri-negeri yang tidak mempunyai sultan," katanya.

Ahmad Fadil berkata, lawatan ke Bukit Bendera adalah lawatan amat disukai Al-Sultan Abdullah dan baginda turut memuji usaha Perbadanan Bukit Bendera dan pengasas The Habitat, Harry Cockrell dalam mewujudkan The Habitat yang disifatkan baginda sebagai satu lokasi pelancongan menakjubkan.

Beliau berkata, dalam lawatan kali ini, Al-Sultan Abdullah turut berpeluang mendekati barisan kepimpinan kerajaan Pulau Pinang dengan beramah mesra dengan Ketua Menteri dan Exco kerajaan negeri dalam setiap atur cara yang diadakan.

Dalam pada itu beliau berkata, pertemuan baginda dengan mufti, ketua hakim syarie, pengarah Jabatan Agama Islam dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dalam lawatan kali ini menunjukkan usaha Tuanku yang mahu melihat keseragaman dalam hal ehwal Islam di negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka selain memantapkan agensi-agensi agama di setiap negeri berkenaan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ketika berangkat pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas di sini hari setelah membuat lawatan rasmi tiga hari ke Pulau Pinang. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ketika berangkat pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas di sini hari setelah membuat lawatan rasmi tiga hari ke Pulau Pinang. - Foto Bernama

"Mesyuarat munaqasyah ini adalah inisiatif baginda untuk menyeragamkan dari segi fatwa, hukum Islam dan isu-isu melibatkan agama. Jadi, pertemuan antara baginda dengan mufti, ketua-ketua agama, hakim mahkamah syarie ini bukan pertemuan kali pertama.

“Bila tak ada munaqasyah ini negeri-negeri yang tiada sultan, mereka 'on their own'. Tetapi melalui Tuanku mereka duduk bersama berbincang untuk tujuan keseragaman," katanya.

Ahmad Fadil berkata, Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan rasa gembira sempena lawatan kali ini dan menyatakan hasrat untuk datang semula ke Pulau Pinang bagi menikmati durian kegemarannya.

Sementara itu, Kon Yeow ketika ditemui selepas keberangkatan pulang Seri Paduka berdua mengucapkan terima kasih atas kesudian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat melawat negeri ini.

"Kerajaan negeri berharap Tuanku berdua akan mengambil kesempatan pada masa akan datang melawat juga ke Pulau Pinang. Kerajaan negeri juga mengucapkan penghargaan kepada Tuanku kerana memuji pembangunan di Pulau Pinang. Tuanku juga memberi nasihat supaya rakyat jelata hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu serta Pulau Pinang menjadi sebuah negeri contoh.

"Kami akan menerima nasihat ini dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pembangunan Pulau Pinang dapat membawa manfaat kepada semua rakyat dan menjadi sebuah negeri di mana rakyat boleh menikmati hasil pembangunan di samping wujud perpaduan dan semangat toleransi kerana kepelbagaian adalah kekuatan negeri kita," katanya. - Bernama